Apabila sampai di pelabuhan selatan Qin, para kelasi perlu menunggu nakhoda balik dari melaporkan diri.
Renjana berada di ruang makan, sedang makan saki baki makanan sarapan pagi tadi. Dari ekor matanya, dia terasa seperti ada orang sedang mengintai. Apabila dia menoleh, dia lihat Laila sedang menyorok di balik pintu keluar ruang makan dan merenung dirinya. “Adik cari apa?”
Laila masuk ke dalam. Dia melihat kiri kanan sebelum berlari anak ke arah Renjana. “Abang nanti ada kerjakah sepanjang berada di sini?” tanya Laila.
“Abang tak tahu. Kenapa?”
“Um…” Tapak kaki Laila seperti sedang melukis bulatan di atas lantai. “Saya tidak tahu mahu buat apa juga. Walid akan sibuk dengan kerjanya. Saya pasti akan sunyi nanti.”
Renjana tidak tahu mengapa dalam banyak-banyak manusia, Laila meluahkan perasaannya padanya. Tetapi dia tidak sampai hati untuk menyuruh Laila keluar dari ruang makan. “Nanti lepas abang siap kerja, mari kita berjalan-jalan di bandar.” Itu perkara pertama yang keluar dari fikiran Renjana.
Mata Laila membulat. Dia tersenyum mendengar cadangan Renjana.
“Tetapi minta izin Walid kamu sebelum itu. Abang taknak mereka ingat abang culik kamu.” arah Renjana.
“Baiklah!” Laila terus berlari keluar dari ruang makan sambil melompat-lompat.
Kejap, kenapa aku bagi cadangan tu? Renjana sedar akan kata-katanya sebentar tadi. Dia tiada masalah untuk berada di negeri orang, tetapi berjanji untuk membawa Laila sekali? Kenapa dia tergerak hati untuk membawa budak kecil itu? Bukan itu sahaja, dia tidak pasti jika dia akan menjadi sibuk sepanjang berada di sini. Bagaimana kalau dia tiada masa untuk tunaikan janjinya?
Renjana menepuk dahinya. Sekarang dia perlu cari masa senggang untuk menunaikan janjinya.
✿✿✿
Pada hari keenam, aktiviti para anak kapal menjadi lebih ringan. Mereka mula bergilir-gilir turun ke bandar melawati negeri orang. Renjana hanya berehat di kabin bersama beberapa kelasi lain.
“Hei, Renjana! Kau mahu buat apa di bandar nanti?” Rashid menegurnya dari jauh. Dia bersama lagi tiga kelasi sedang berbual tentang di mana mereka mahu makan nanti.
“Aku tidak tahu.” balas Renjana.
“Kalau kau tak ada rancangan, ayuh ikut kami makan di kedai.”
“Kau tahukah di mana kedai halal?” Renjana bertanya.
“Ini merupakan kali ketiga aku di sini. Aku juga mahu tunjuk selok belok bandar. Lebih selamat jika kau bersama orang yang tahu arah sepertiku.” jelas Rashid. Renjana teringat kembali yang Rashid merupakan orang paling lama bertugas di atas kapal. Jadi tidak pelik jika dia mula tahu selok belok bandar pada kali ketiga melawati tempat ini.
“Boleh kau bagi aku masa untuk berfikir dulu?” tanya Renjana.
“Baiklah, tetapi pastikan kau dapat jawapan sebelum petang ini.” balas Rashid. Dia kembali berbual dengan tiga kelasi lain.
Mungkin lebih selamat jika dia tahu selok belok bandar sebelum dia membawa Laila berjalan-jalan nanti. Tetapi bagaimana jika Laila sudah pun berjalan-jalan bersama Tuan Tariq di bandar semasa mengikutinya berdagang?
Tanpa sedar, waktu sudah petang. Renjana perlu memberi jawapan pada Rashid sebelum mereka pergi ke bandar. “Aku ikut kau semua.” kata Renjana.
“Baiklah. Ayuh, ikut aku!” Selain Renjana, Malik juga mengikuti mereka. Izaan mengikuti mereka kerana dia perlu mencari bahan masakan sebelum mereka bertolak balik nanti. Lagi dua kru kapal baru —Mohsin dan Ameer— turut berada dalam kumpulan mereka.
Rashid beritahu yang dia akan bawa mereka ke pasar malam, atau orang Qamari memanggilnya bazaar. Rashid mengingatkan mereka untuk jaga barang penting mereka kerana orang luar sering menjadi target penyeluk saku di situ. Mendengar nasihatnya, mereka terus memegang poket masing-masing supaya duit yang dibawa mereka tidak dicuri. Renjana juga mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan poketnya tidak disentuh sesiapa.
Sesudah sampai di bazaar, mereka berasa seperti rusa masuk ke kampung kecuali Rashid dan Renjana. Suasana di bazaar riuh. Di kiri dan kanan jalan, para peniaga mula menyalakan lampu kecil di hadapan gerai mereka. Ada yang menggunakan pelita, ada yang menggunakan tanglung. Cahaya-cahaya kecil itu belum mampu mengalahkan cahaya matahari, tetapi semakin petang berlalu, semakin jelas sinarnya.
Hampir kesemua gerai yang mereka lalui menjual makanan. Antara makanan yang dijual adalah sate ayam dan daging —berkemungkinan ianya daging babi—, nasi goreng, congee, dan…
“Oh, jarād!” Malik berjalan ke arah sebuah gerai yang menjual belalang goreng. Renjana cuba untuk tidak membiarkan raut wajahnya menunjukkan rasa mualnya.
“Bukankah itu jundub?” kata Renjana.
“Jarād dan jundub ada perbezaan maksud. Semua jarād ialah jundub, tetapi bukan semua jundub ialah jarād.” jelas Rashid. Renjana masih lagi tidak memahaminya. Malik pula membalas, “Dalam bahasa Melayu rasanya kedua-duanya dipanggil sebagai satu perkataan yang sama. Mungkin sebab itulah pada Renjana kelihatan keliru. Nah, cuba rasa!” Malik menghulurkan belalang yang dicucuk dengan lidi pada Renjana.
Renjana tidak dapat menyorok rasa loyanya. Dia tahu ada orang makan serangga termasuklah orang di dunia moden, namun dia langsung tidak tertarik untuk rasa sendiri. “Adakah ianya halal?” Renjana ragu-ragu.
“Ya, jarād dianggap halal untuk dimakan dalam hukum pemakanan Islam. Saya sudah pastikan barang masakan yang digunakan adalah suci. Cubalah!” Malik masih menghulurkan lidi itu kepada Renjana.
“Tidak mengapa, cuba sahaja satu. Aku pun pernah merasainya sebelum ini.” balas Rashid.
“Jarād sedap sebab luarannya rangup!” Izaan pula menyambung. Mohsin juga mengangguk mengiyakan kata-kata Rashid dan Izaan. Ameer hanya menyilangkan tangan. Apabila Renjana melihatnya, dia terus berkata, “Cuba saja.”
Akhirnya Renjana mengambil lidi itu dari Malik. Dia merenung keadaan belalang itu. Dia tidak tahu kenapa, tetapi semakin lama dia merenungnya dia berasa seperti ia masih hidup, walaupun jelas kelihatan ia sudah pun dimasak dan tidak bernyawa lagi. Tetapi imaginasi Renjana mengaburkan perkara itu.
Renjana menutup mata dan makan satu daripadanya. Renjana berasa aneh apabila mengunyahnya. Dia sangkakan yang dia akan rasa sesuatu yang jijik, pahit mungkin, tetapi sebaliknya terjadi. Rasanya seperti tanah dan kacang, dengan rasa yang mungkin boleh dibandingkan dengan udang, biji bunga matahari panggang, atau kulit ayam rangup. Keadaannya yang digoreng menjadikannya sangat rangup dan berperisa, manakala perasa berat seperti garam dan serbuk lada membentuk sebahagian besar rasa akhir.
“Oh?” Renjana agak terkejut dengan rasanya. Ianya bukanlah sedap mana, tetapi tidaklah terlalu jijik juga. Jika dia tutup mata dan terus makan, mungkin dia tidak tahu yang dia sedang makan belalang goreng. “Bolehlah.” balasnya.
Malik sambung makan beberapa belalang goreng lain. Mereka sambung berjalan hingga mereka sampai di sebuah kedai makan yang mempunyai ramai pelanggan.
Jelas Rashid, pemilik kedai makan itu ialah salah seorang orang Qamari yang berkahwin dengan penduduk tempatan di situ. Isterinya memeluk Islam kemudiannya. Rashid mengetahui kewujudan kedai makan itu ketika dia tersesat di bandar semasa dia berada di sana buat pertama kali.
Makanan yang dihidangkan semuanya berasaskan ikan dan sayur-sayuran. Mereka memasak makanan orang Qin dan memastikan bahan-bahan masakan adalah suci. Disebabkan menu berada dalam bahasa Cina, pemilik kedai itu mencadangkan beberapa makanan popular mereka.
Kumpulan mereka dapat duduk di sebuah meja bulat yang agak besar, sesuai dengan saiz kumpulan mereka. Beberapa minit kemudian, makanan mereka dihidangkan. Pada petang itu, mereka makan besar. Sedang mereka sedang asyik berbual, kekecohan berlaku di luar kedai. Kedengaran seperti dua orang Qin sedang bergaduh. Ianya merupakan pergaduhan antara dua lelaki.
Dari pemerhatian Renjana, salah seorangnya kelihatan seperti seorang lelaki muda, dan lagi seorang ialah lelaki yang berumur. Lelaki berumur itu hampir-hampir menumbuk lelaki muda itu, tetapi orang lain menahannya.
“Usah risau, pergaduhan memang biasa di lorong ini.” jelas pemilik kedai itu kepada mereka berenam. Rashid mengangguk tanda setuju. Mereka yang tadi berbual tentang benda lain mula berbual tentang kekecohan di luar itu.
“Kau rasa apa yang mereka tengah bergaduh?” tanya Mohsin.
“Aku mana faham bahasa Cina.” balas Ameer.
“Lelaki muda itu berteriak seperti perempuan.” Malik pula berkata.
Renjana hanya berdiam diri. Dia cuba untuk memikirkan tentang perbalahan orang tempatan itu sendirian. Berdasarkan pemerhatiannya, lelaki muda itu kelihatan pendek untuk seorang lelaki. Badannya juga kecil. Lelaki tua itu pula lebih tinggi dan masih kuat bertenaga. Jika tidak, dia sepatutnya tidak memerlukan hingga dua orang untuk menahannya. Itu sahaja maklumat yang dia ada. Jika dia dapat memahami bahasa orang Qin, mungkin dia boleh mendapat lebih banyak maklumat daripadanya.
Langit menjadi gelap. Mereka meminta izin pemilik kedai untuk menunaikan solat di ruang staf. Renjana beranggapan bahawa Rashid memang sudah sedia maklum mengenai ruang staf itu semasa dia berjumpa dengan pemilik kedai buat pertama kali.
Ruang itu terlalu kecil dan hanya boleh memuatkan dua orang dalam satu masa. Jadi mereka bergilir-gilir menunaikan solat Maghrib di sana sebelum mereka bergerak pulang ke kapal mereka.