Sesudah sampai di kapal, keadaan di situ kelihatan kecoh. Tuan nakhoda sedang menyoal siasat anak kapalnya. “Apa yang terjadi, tuan?” Rashid menegur Tuan Abdullah.
“Laila hilang! Tuan Tariq kata Laila balik ke kapal sendirian. Itu yang saya cuba tanya semua orang jika mereka ada ternampak Laila.” jelas Tuan Abdullah.
Hati Renjana tersentak sejuk. Dia terus bertanya, “Apa yang mereka beritahu?”
“Mereka berkata bahawa Laila sedang mencari kamu. Apabila Laila dapat tahu, mereka ingatkan Laila balik semula berjumpa dengan Tuan Tariq. Tetapi hingga sekarang dia tidak kelihatan.” balas Tuan Abdullah.
Anggapan Renjana betul. Laila cuba untuk berjumpa dengannya, tetapi Renjana sudah pun keluar dengan orang lain. Bagaimana jikalau Laila cuba untuk mencarinya di bandar? Tetapi, tahukah dia di mana dia boleh mencarinya?
“Rashid, kau cuba cari Laila di bandar memandangkan kau tahu selok belok kawasan itu.” arah Tuan Abdullah. Rashid terus menerima arahan itu dan pergi semula ke bandar.
“Tuan, saya mahu mencari Laila juga! Ianya salah saya kenapa Laila hilang.” Renjana memohon untuk bantu mencari Laila juga.
“Baiklah, aku berikan keizinan. Kau cari bersama Rashid.” balas Tuan Abdullah. Renjana mengucapkan terima kasih dan terus mengejar Rashid.
Dalam perjalanan, Renjana menegur Rashid. “Apa kata kita bertemu dengan Tuan Tariq? Mungkin jika kita tahu laluan yang digunakan oleh mereka berdua, kita boleh mula mencari dari sana.”
“Ada betul juga cadangan kau. Ayuh, kita berjumpa dengan Tuan Tariq.” Rashid bersetuju.
✿✿✿
“Assalamualaikum, tuan. Kami datang untuk bertanya soalan.” Rashid mengetuk pintu rumah penginapan saudagar itu, tetapi tidak terlalu kuat. Selepas beberapa ketika, pintu itu dibuka. “Renjana? Adakah kamu sudah menjumpai Laila?” katanya. Tuan Tariq melihat sekeliling kerana dia memikirkan bahawa Laila bersama dengan mereka.
“Maaf, tuan. Kami di sini untuk bertanya tentang laluan yang tuan gunakan semasa membawa Laila. Mungkin kami boleh mula mencari dari situ.” Renjana berkata.
“Kalau kamu berdua tahu di mana untuk mencari Laila, saya akan mengikuti kamu berdua sekali. Lebih mudah jika saya menunjukkan arah. Lagipun saya memahami bahasa orang tempatan.” Tuan Tariq keluar dari rumah penginapannya dan mengunci pintu. Mereka mengikuti Tuan Tariq dari belakang.
Laluan yang dilalui mereka adalah laluan yang mempunyai ramai orang asing. Renjana memastikan dia melihat sekeliling jikalau dia dapat melihat kelibat Laila. Mereka juga bertanya dengan penduduk tempatan dan peniaga di tepi jalan dan berikan penerangan mengenai paras rupa Laila, namun mereka tidak menjumpai jawapan yang diinginkan.
Renjana kerap melihat setiap lorong gelap di sepanjang perjalanan. Semasa di dunia moden, adalah perkara biasa bagi gadis-gadis muda untuk diseret ke lorong. Walaupun Laila terlalu muda untuk kerja-kerja sebegitu, dia tetap risau. Bagaimana jika di zaman ini, di negeri ini, ianya menjadi perkara biasa untuk budak perempuan seperti Laila mengambil kerja kotor seperti itu? Memikirkannya sahaja membuat Renjana meremang bulu roma.
Laluan bazaar adalah antara laluan yang dibawa oleh Tuan Tariq. Jadi mereka berdua juga pernah lalu bazaar ni. Renjana cuba untuk berfikir. Pasti ada peniaga di sini yang pernah nampak Laila. Dia tidak merasa yang Laila akan ambil laluan yang tidak dikenalinya.
Semasa seorang penjual alat solekan menjawab soalan Tuan Tariq, wajah saudagar itu bertukar pucat. Berkemungkinan dia mendapat jawapan mengenai Laila, tetapi ianya bukan jawapan yang patut dibanggakan.
“Apa orang ini katakan, tuan?” tanya Renjana.
“Dia memberitahu bahawa Laila mengikuti seorang lelaki.” balas Tuan Tariq.
“Sebelum ini tuan ada berikan apa-apa nasihat pada Laila apa yang perlu dibuat jika dia sesat? Misalnya, meminta tolong orang yang dikenalinya?” Rashid bertanya.
“Saya ada beritahu Laila untuk berjumpa dengan orang yang saya perkenalkan kepadanya.” jelas Tuan Tariq. Dia sambung bertanya pada peniaga itu. Berkemungkinan dia mahu tahu jika peniaga itu boleh menerangkan rupa orang yang diikuti Laila.
Selepas penjual itu menjawab soalannya, Tuan Tariq memberitahu mereka berdua. “Jawapan yang diberikan tidak sama seperti orang-orang yang saya pernah jumpa sebelum ini.”
“Bagaimana rupa lelaki itu?” Renjana bertanya.
“Katanya, lelaki itu pendek dan berbadan kecil. Dia kelihatan muda dan suaranya seperti perempuan.” jelas Tuan Tariq.
‘Suara seperti perempuan’. Perkataan itu membuatkan Renjana teringatkan pergaduhan yang berlaku di luar kedai makan petang tadi.
Renjana bukanlah seorang yang mampu mengingati paras rupa orang yang dijumpainya, lebih-lebih lagi jika dia hanya melihat mereka sekali sahaja. Tetapi ada beberapa perkara yang Renjana ingat, seperti warna baju dan aksesori yang menarik pandangannya.
Jika dia cuba mengingatinya semula, baju yang dipakai ialah baju berwarna perang, atau mungkin hijau tua lembut. Dia juga mengikat rambut seperti lelaki lain di Qin. Tetapi dia tidak pasti statusnya dalam masyarakat dengan gaya pemakaian seperti itu.
Renjana melihat sekeliling untuk mendapatkan klu lain. Kawasan mereka berdiri sekarang ini tidak jauh dari kedai makan yang mereka singgah. Mungkin peniaga ini pernah melihat pergaduhan pada petang tadi. “Tuan cuba tanya peniaga itu jikalau dia ada melihat pergaduhan yang berlaku berdekatan kawasan ini.” ujar Renjana.
Tuan Tariq mengangguk dan terus menterjemahkan soalan Renjana. Daripada gaya percakapan peniaga itu, dia seperti rancak bercakap mengenai kejadian itu. “Orang ini berkata yang dia ada nampak pergaduhan yang berlaku di depan sana. Kenapa kamu tanya tentang itu?” Tuan Tariq bertanya kepada Renjana.
“Sebelum saya menjawab, cuba tanya dia jika lelaki muda yang bergaduh di sana ialah orang tersebut.” balas Renjana. Dia tidak mahu memberi jawapan berdasarkan andaian semata-mata. Boleh jadi andaiannya salah, dan dia akan dipersalahkan.
Tuan Tariq bertanya lagi pada peniaga itu. Selepas peniaga itu membalas, Tuan Tariq menterjemahkan jawapannya pada Renjana. “Dia berkata yang dia tidak tahu secara terperinci tentang pergaduhan itu. Tetapi orang yang bergaduh ialah lelaki muda tadi dan seorang lelaki tua. Lelaki tua itu pemilik rumah pelacuran. Sekarang kamu jawab soalan saya tadi.” arah Tuan Tariq.
Renjana mahu meminta Tuan Tariq untuk bertanyakan satu lagi soalan sebelum dia menjawab apa yang difikirkannya, tetapi saudagar itu kelihatan seperti tidak puas hati kerana dia tidak tahu apa rancangan Renjana. Jadi, Renjana akhirnya menjawab, “Saya belum ada jawapan yang jelas. Tetapi saya syak yang orang yang bertengkar itu antaranya ialah orang yang Laila ikuti. Mungkin, jika kita berjumpa dengan lelaki tua itu, kita dapat tahu sesuatu tentang lelaki muda itu. Saya tidak pasti jika ianya membantu ataupun tidak, sebab itu saya teragak-agak untuk menjawab.”
“Dalam keadaan sebegini, saya perlukan otak kamu berdua untuk mencari Laila walaupun ianya hanyalah andaian.” jelas Tuan Tariq pada Renjana. Renjana hanya menundukkan kepala. “Jadi, perlukah kita berjumpa dengan lelaki tua itu?” saudagar itu bertanya.
Renjana mengangguk.
Tanpa berlengah lagi, Tuan Tariq minta lokasi rumah pelacuran pada peniaga itu. Tuan Tariq menundukkan kepala dan berterima kasih pada peniaga itu. Kalau ada yang bertanya bagaimana Renjana tahu, perkataan ‘terima kasih’ dalam bahasa orang cina adalah satu-satunya perkataan yang dia tahu.
✿✿✿
Sesudah sampainya mereka di sana, mereka mencari orang yang menguruskan tempat itu. Yang datang berjumpa dengan mereka ialah seorang makcik tua yang berpakaian sangat mewah. Walaupun dia sudah tua dan mukanya berkedut, gaya pemakaiannya tetap menaikkan seri yang tersisa pada dirinya.
Tuan Tariq bercakap pada wanita tua itu. Sayangnya, berdasarkan terjemahan Tuan Tariq, pemilik rumah pelacuran itu tiada di sana. Tetapi wanita itu memberikan alamat rumahnya yang tidak jauh dari kawasan itu. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka terus pergi ke arah rumah itu.
✿✿✿
“Ini diluar pengetahuan aku. Kalau tiada Tuan Tariq, pasti kita berdua akan sesat.” kata Rashid.
Nampaknya kawasan mereka lalui sekarang di luar pengetahuannya. Kini mereka perlu bergantung sepenuhnya pada kebolehan bahasa Tuan Tariq untuk mencari rumah pemilik itu.
Selepas beberapa minit berjalan, mereka sampai di rumah tersebut. Tuan Tariq mengetuk pintu. Dia berkata sesuatu. Mungkin ianya ‘selamat petang’, Renjana hanya mengagak.
Seorang gadis muda muncul di balik pintu rumah itu. Renjana menatap wajahnya. Kenapa seperti pernah dilihat?
Tiba-tiba, Rashid mencuit bahunya dan berbisik, “Tidak sopan untuk seorang lelaki merenung wajah gadis seperti itu.”
Renjana terus menundukkan pandangannya selepas ditegur.
Gadis itu masuk semula ke dalam. Kedengaran suaranya menjerit. Beberapa minit kemudian, lelaki tua yang mereka cari keluar dari rumah itu. Tuan Tariq bertanya pada Renjana dan Rashid. “Adakah ini orang yang kita cari?”
“Rasanya betul. Inilah lelaki yang bergaduh di depan kedai petang tadi, bukan?” Rashid bertanya kepada Renjana untuk mendapatkan kepastian.
Renjana mengangguk. “Cuba tanya siapakah lelaki yang dia bertengkar petang tadi.” katanya.
Tuan Tariq bertanyakan soalan itu pada lelaki tua itu dalam bahasa tempatan. Lelaki itu menjawab. Gayanya seperti dia masih tidak puas dengan apa yang berlaku petang tadi. Tuan Tariq juga bertanyakan lagi satu soalan, tetapi Renjana tidak tahu apa yang di soalnya.
Selepas lelaki itu menjawab, Tuan Tariq memberi terjemahan pada mereka berdua. “Orang ini berkata yang dia bergaduh dengan seorang pemuda yang dulunya di bawah jagaannya. Dia cuba untuk menghentikan kegiatan pemuda itu. Katanya, pemuda itu cuba untuk menjual adik perempuannya, yakni gadis tadi, untuk dijadikan buruh paksa.”
Jadi, lelaki tua ini bergaduh dengan lelaki muda itu kerana mahu menghentikan kegiatannya. Dia mahu menjual adik perempuannya untuk menjadi buruh paksa.
Renjana kembali mengingatkan lelaki yang dilihatnya petang tadi. Tubuhnya kecil, kurus, dan suaranya terlalu halus untuk seorang lelaki.
Renjana mengerutkan dahi. Namun dia segera menolak fikirannya. Dia tidak mahu membuat kesimpulan hanya berdasarkan suara.
Rashid pula bertanya, “Kalau begitu, mengapakah gadis itu masih di sini?”
Tuan Tariq bertanyakan soalan itu kepada lelaki tua itu. Selepas lelaki itu menjawab, Tuan Tariq memberitahu mereka.
Selepas mendapat jawapan, Tuan Tariq memberitahu kepada mereka. “Dia berkata gadis itu berada di rumah kerana dia tidak mahu membiarkan dia dibawa pergi oleh abangnya.”
“Tuan.” Renjana menegur Tuan Tariq.
“Ya?”
“Cuba bertanya kepadanya, adakah dia melihat pemuda itu selepas pergaduhan tadi?”
Tuan Tariq bertanya. Lelaki tua itu menggelengkan kepala. Dia menjawab sesuatu.
Tuan Tariq menterjemahkan. “Katanya tidak. Dia sangka pemuda itu sudah pergi.”
Berdasarkan maklumat yang didapati oleh Renjana, pemuda itu beserta gadis tadi di bawah jagaan orang tua ini. Kemudian, si abang tidak duduk di sini lagi? Dan kini dia muncul kembali dan mahu menjual adiknya? Renjana cuba menyambung semua maklumat itu.
Si abang, dan adik perempuannya…
Renjana perasan akan sesuatu. Walaupun mereka adalah adik beradik, mereka kelihatan sangat mirip. Gerak geri gadis itu seperti sama dengan pemuda di bandar petang tadi. Ianya agak mustahil untuk adik beradik mempunyai lenggok badan yang sangat serupa. Renjana bukanlah seorang yang mampu ingat setiap setiap butiran yang ada, tetapi jika semua ini berlaku dalam hari yang sama dan pada masa yang terdekat, dia dapat menangkap perkara seperti ini.
Bagaimana jikalau…
Renjana memandang gadis itu. Dia cuba mencari klu yang diperlukan untuk mengesahkan syak wasangkanya.
Pada belakang tangan kanannya terdapat kesan cakaran. Pada petang itu, memang lelaki tua itu menaikkan tangannya pada pemuda itu. Kemudian, dia ditahan oleh beberapa orang tempatan yang lain.
Lelaki tua itu bercakap kepada gadis itu. Semasa gadis itu membalas, Renjana cuba meneliti suaranya. Baginya, dia rasa seperti pernah mendengar suara itu sebelum ini. Ianya suara yang seakan sama, tetapi lebih lembut.
Renjana memandangnya. Jelas kelihatan dia mencurigai gadis itu.
Gadis itu pula memandang Renjana kembali. Dan untuk sesaat, ekspresinya berubah. Dari gerak gerinya, seakan dia tahu Renjana sudah mula menyedari sesuatu.
Tuan Tariq bertanya lagi beberapa soalan. Gadis itu hanya menundukkan kepaladan memandang lantai. Lelaki tua itu menjawab sambil menggelengkan kepala.
Tuan Tariq mengeluh. “Mereka tidak pernah melihat Laila.” jelasnya pada mereka berdua.
Renjana tidak puas hati. Dalam keadaan terdesak, dia menjerit nama Laila di situ juga. Mereka semua terkejut melihat Renjana yang tiba-tiba menjerit nama Laila. Pada waktu itu, dia berharap sangat Laila berada berdekatan dengan mereka dan mendengar jeritannya. Dia berharap mungkin, hanya mungkin, dia akan mendengar semula suara Laila.
“Abang Renjana?”
Suara itu samar-samar. Renjana yakin dia mendengar suara halus itu. Tanpa berlengah lagi, Renjana memaksa dirinya masuk ke dalam rumah itu. Dua penghuni rumah itu cuba mengejarnya, tetapi dia dapat mengelak. Selepas membuka smeua pintu bilik, dia mencari di halaman rumah pula. Ada satu rumah kecil di belakang rumah mereka. Renjana terus membuka pintunya tanpa berfikir.
“Abang?” Laila terkejut melihat Renjana. Dia sedang duduk di lantai beralaskan sehelai tikar buluh. Pada masa itulah Tuan Tariq dan Rashid akhirnya sampai juga di situ.
“Laila!” Tuan Tariq terus nerlari ke arah anaknya dan memeluknya. “Bagaimana kamu tahu Laila di sini?” Tuan Tariq bertanya pada Remaja.
“Saya mendengar suaranya.” balas Renjana.
“‘Suara’? Aku tidak mendengarnya langsung!” Rashid pula berkata.
“Aku melatih deria telinga aku untuk peka dengan semua bunyi.”jelas Renjana. “Tetapi cukuplah tentang saya. Apa kata kita bertanya pada ‘pemuda’ itu mengapa dia mahu menculik Laila dan menjualnya sebagai buruh paksa?” Renjana merenung tajam pada gadis itu.
“Tetapi bagaimana? Lelaki itu tiada di sini.” Rashid bertanya.
“Bukanlah. Pemuda itu berada dengan kita sekarang ini.” balas Renjana sambil menuding jari ke arah gadis itu.
Gadis tersebut mendecit. Dia seperti mahu lari dari situ.
Selepas sesi soal siasat, mereka dapat tahu bahawa gadis itu menyamar menjadi abangnya, yang juga merupakan kembarnya. Abangnya sudah lama meninggalkan rumah itu untuk merantau tanpa pengetahuan lelaki tua itu. Gadis itu mengambil kesempatan untuk menyamar sebagai abangnya dan bekerja tanpa pengetahuan penjaganya. Kemudian, dia ditangkap oleh penjaganya semasa dalam penyamaran sewaktu dia baru berurusan dengan orang lain mengenai rancangannya untuk menculik Laila.
Laila menjadi sasaran mereka kerana dia seorang sahaja budak orang asing yang datang ke Kerajaan Qin pada waktu itu. Kebetulan pula pada waktu itu Laila sedang berjalan di bazaar mencari Renjana. ‘Pemuda’ itu memperkenalkan dirinya pada Laila dalam bahasa Arab yang tunggang terbalik. Disebabkan Laila masih tidak menguasai bahasa tersebut, dia fikir ‘pemuda’ tersebut adalah antara rakan pedagang Tuan Tariq. Justeru itu, dia mengikutinya hingga ke rumah mereka.