Bab 6: Kapal Tuan Abdullah

“Alhamdulillah, tahniah!” Awang bersalaman dengan Renjana dengan penuh tenaga. Pada asalnya, Renjana fikir yang Awang akan berasa cemburu kerana dia tidak terpilih bersama-sama dengannya. Tetapi, dia kelihatan ikhlas mengucapkan tahniah dan berasa gembira atas pemilihan itu.

“Nak, ingat pesanan ku. Tidak kira di mana kau berada, jangan kau lupakan Allah. Dengan izinnya, Allah akan melindungi kau.” Bayu mengingatkan kembali salah satu nasihatnya pada Renjana.

Renjana mencium tangan Bayu. Apabila dia mendongakkan kepala semula, Bayu terus memeluknya. “Jikalau kau ada masa, hantarlah surat kepadaku.”

“Baik, pakcik.” balas Renjana.

Walaupun Renjana baru menginap di rumah Bayu hampir dua bulan, namun hubungan mereka berdua kelihatan akrab. Sama juga hubungannya dengan Awang yang baru beberapa minggu mereka berkenalan. Ini ke rasanya ada kenalan rapat? Tiba-tiba soalan itu muncul di dalam kepalanya.

“Aku pergi dulu. Assalamualaikum.” Renjana menundukkan kepalanya sedikit. Dia mengambil satu kain pelikat yang penuh dengan  barang penting seperti baju pemberian Bayu, kayu sugi hadiah daripada Bahari, dan pelbagai lagi.

Renjana menaiki jukung bersama dengan anak kapal lain. Ianya jukung terakhir yang membawa mereka ke kapal besar. Awang melambai tangan pada Renjana apabila jukung tersebut mula bergerak.

Sesudah sampai di kapal utama, Renjana beserta anak kapal lain menaiki tangga bertali yang disediakan. Mereka mengikat kain berisi barang pada lengan atau tengkuk mereka sebelum akhirnya orang yang mengayuh jukung itu balik semula ke pelabuhan.

Di atas kapal, perkara pertama yang dilakukannya adalah berjumpa dengan ketua barunya, Tuan Abdullah. Tuan Abdullah kelihatan sedang berbual dengan jurumudi. Renjana berjalan ke arahnya untuk melaporkan diri.

“Kamu Renjana?” tanya Tuan Abdullah.

“Ya, tuan.” Renjana menundukkan kepala tanda hormat.

“Kamu pernah berlayar sebelum ini?”

“Tidak, tuan.”

“Kamu tahu berenang?”

Renjana terkelu. “Uh… Tidak, tuan.”

Tuan Abdullah menghembus nafasnya. “Jadi jangan jatuh.” balas Tuan Abdullah. Renjana tidak tahu jika tuannya sedang bergurau atau serius.

Abdullah kemudian menunjukkan beberapa bahagian kapal kepadanya. Tidak banyak. Renjana cuma perlu tahu kabin penting seperti tempat tidur, tempat menyimpan bekalan, tempat menyimpan barang dagangan dan bahagian yang tidak boleh disentuh sesuka hati.

“Kerja kamu mudah,” kata Abdullah. “Buat sahaja apa yang disuruh. Jikalau kamu tidak tahu, bertanya. Saya tidak mahu kamu melakukan kerja yang kamu tidak tahu caranya, jika tidak ia akan menyusahkan kru lain.”

Renjana mengangguk.

Tuan Abdullah berlalu. 

✿✿✿

Sehari-hari Renjana bermula dengan bangun pada awal pagi untuk solat Subuh secara berjemaah. Mereka mengambil giliran untuk solat. Sementara kumpulan lain menunaikan solat, kru lain akan membuat kerja mereka atau makan sarapan. Selepas bersarapan, Renjana mula melakukan kerja seperti mencuci kapal, ikut arahan jurumudi, bersihkan dek, dan kerja-kerja fizikal yang lain. Disebabkan Renjana bukanlah orang Qamari, dia perlu belajar bahasa orang Qamari untuk memudahkan komunikasi dengan kru lain. 

Kadangkala, bahu kirinya berdenyut apabila dia mengangkat barang terlalu berat, tetapi dia tidak merungut. Dia bukanlah seorang yang mudah sembuh dalam masa yang pendek seperti ketua lamanya di masa depan. Setiap kali dia cedera semasa melakukan tugasan lamanya, dia tidak merungut dan menunjukkan kelemahan atau dia akan dibuang kerja dan hilang tempat tinggal dan makanan hariannya.

Dan Renjana lebih suka bertahan. Dia sudah biasa dengan kesakitan. Yang dia tidak biasa adalah hidup tanpa arahan. Otaknya akan menjadi tepu dan terdiam macam orang bodoh. Dia masih tidak biasa untuk meneruskan hidup tanpa arahan sesiapa.

✿✿✿

Seminggu berlalu, rutin yang sama dilakukan. Renjana membantu anak kapal menyediakan layar, mengangkat barang, membersihkan dek dan mengambil air. Makan di kapal tiga kali sehari; sarapan, makan tengah hari, dan makan malam. Solat lima waktu dalam kumpulan secara bergilir-gilir. Renjana masih lagi terkial-kial semasa cuba mengikuti imam. Dia boleh mengikuti solat Subuh, Maghrib dan Isyak kerana imam membacanya dengan kuat. Namun lain pula untuk Zohor dan Asar di mana imam membacanya dengan perlahan. Pergerakan mereka juga lebih cepat. Renjana yang masih belajar sukar untuk mengikuti mereka.

Semasa Renjana membawa beberapa baldi untuk disimpan semula, dia berselisih dengan seorang budak perempuan. Budak itu menyorok mukanya dan berpaling ke dinding semasa Renjana melaluinya. Seingatnya, budak itu ialah Nur Laila. Dia ialah anak tuan Tariq, saudagar yang menaiki kapal itu. Berdasarkan maklumat dari anak kapal lain, ibunya yang merupakan orang tempatan negeri Nusaraya mati ketika melahirkannya. Dia dijaga oleh neneknya selama empat tahun. Tuan Tariq memilih untuk membawanya balik bersama.

Mungkin Laila berasa malu untuk berjumpa dengan kru kerana dia seorang sahaja perempuan di atas kapal itu. Renjana bukanlah seorang yang peramah, jadi dia tidak ambil peduli sangat tentang perkara itu.

Beberapa minit kemudian, Renjana keluar semula dari tempat penyimpanan barang. Pada waktu itu, dia lihat ada dua orang sedang menegur Laila. Laila kelihatan sangat keliru, barangkali kerana dia tidak faham bahasa orang Qamari. 

“Apa yang berlaku?” tanya Renjana pada kedua-dua kru itu.

“Oh, kami cuma mahu menasihati budak perempuan ini untuk tidak bersandar pada selusur kapal. Kami risau dia akan terjatuh. Tetapi budak perempuan ini tidak memahami bahasa kami.” jelas salah seorang daripada mereka.

Renjana berlutut supaya pandangan matanya selari dengan mata Laila. Dalam bahasa Melayu, dia menerangkan pada budak itu. “Mereka mahu beritahu adik supaya tidak bersandar pada penghadang ni.” jelasnya sambil memegang susur tangan.

Laila kelihatan sedikit terkejut. Mungkin dia tidak sangka ada orang Melayu yang bekerja di atas kapal ini. “Maaf, saya tidak akan buat lagi.”

Renjana mengusap kepala Laila. “Main di tempat lain, ya?”

Laila mengangguk dan terus berlari anak meninggalkan mereka bertiga.

“Baguslah kau ada, Renjana. Kami langsung tidak tahu cara untuk bercakap dalam bahasa Melayu.” kata lelaki itu.

“Bukankah bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan dalam dunia perdagangan?” Renjana bertanya. Renjana pernah menyoal Bayu bagaimana pedagang-pedagang di negeri Nusaraya mampu bercakap dalam bahasa Melayu. Ujarnya, bahasa Melayu merupakan bahasa perdagangan antarabangsa.

“Kami bukannya seorang saudagar. Kami tidak ada masa untuk belajar bahasa baru kerana kami tidak perlu berurusan dengan orang tempatan.” jelas salah seorang daripada mereka.

“Oh…” Renjana mengangguk tanda faham.

✿✿✿

Selepas membersihkan badan, Renjana terus berjalan ke arah kabinnya. Pada waktu itulah, dia berselisih dengan Laila. Budak itu keluar ke dek kapal. Dia kemudiannya melihat ke arah lautan yang bergelora. Kali ini, dia menjaga jarak antara selusur kapal dan dirinya. 

Renjana hanya memandangnya. Dia risau akan apa-apa yang mungkin terjadi pada Laila nanti. Lautan berombak kuat menyebabkan kapal turut sama bergoyang. Jika sesuatu berlaku pada Laila, sekurang-kurangnya dia dapat memanggil kelasi lain untuk menolongnya.

Laila menoleh muka dan melihat Renjana yang duduk sedikit jauh daripadanya. “Abang buat apa di situ?”

“Saya cuma mahu pastikan tiada apa-apa berlaku pada adik. Tiada orang di dek ini, jika adik terjatuh, orang tidak akan tahu.”

“Jangan risau, saya tahu berenang.” Laila berpalingkan badannya menghadap Renjana. “Bukankah abang tidak tahu bagaimana untuk berenang? Bagaimana abang mahu menyelamatkan saya?”

“Uh… Dari mana adik tahu?” Renjana mengusap belakang tengkuknya.

“Masa hari pertama kita belayar, saya terdengar perbualan abang dengan tuan nakhoda.” jelas Laila.

Laila kembali menghadap lautan dan merenung. Selepas mereka berdua senyap buat seketika, Laila bersuara. “Saya paling takut jika saya ditinggalkan berseorangan.”

Renjana tidak membalas apa-apa. Dia tidak tahu bagaimana budak berumur empat tahun sepatutnya bertindak. Dia sendiri dipaksa untuk bekerja pada usia sangat muda. Selepas kematian ibunya, dia perlu berkhidmat bawah pengutip hutang pula. Dia tidak dapat merasai kehidupan sebenar sebagai seorang kanak-kanak.

Renjana tidak tahu bagaimana kehidupan Laila sebelum kedatangan ayah kandungnya, Tuan Tariq. Mungkin kehidupannya lebih teratur apabila dijaga oleh neneknya.

Share:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *