Bab 5: Hari Cuti

Sejak beberapa hari lepas, Renjana banyak termenung. Setiap kali ada masa senggang, dia akan duduk di tepi tingkap dan biarkan fikirannya melayang. Sewaktu membantu Bayu dalam menyiapkan tempahan dan meniaga juga tidak membantunya untuk mengalihkan perhatiannya pada benda lain.

“Renjana,” Bayu menepuk bahu Renjana yang sedang termenung di tepi tingkap.

Renjana terus bangun dari tempat duduknya. “Maaf pakcik. Ada apa saya boleh bantu?”

“Jauh sungguh kau mengelamun. Ada apa-apa di fikiran kaukah?”

Renjana tidak terus menjawab. Dia melihat semula ke luar tingkap. Selepas lama membuat Bayu tertunggu-tunggu akan jawapannya, dia akhirnya bersuara. Namun ianya bukanlah jawapan pada soalan Bayu itu. “Boleh saya dapat kelepasan esok?”

“Kau ada hal kah esok?” tanya Bayu.

“Bukan” balas Renjana.

“Pergilah.” Bayu terus beri kebenaran tanpa berfikir panjang. Perkara itu berasa asing di mata Renjana.

“Pakcik tidak mahu tanya saya hendak buat apa?”

“Kamu sudah besar.” kata Bayu sambil meletakkan daun mengkuang di satu sudut rumah.

“Terima kasih.” Renjana menundukkan kepalanya. Dia kemudiannya kembali memandang luar tingkap. Bayu mempunyai banyak persoalan tentang perubahan Renjana, tetapi dia tidak bertanya lebih.

✿✿✿

Esoknya, Renjana berjalan di bandar. Dia melihat sekeliling bandar yang sibuk dengan aktiviti berjual beli. Nampak gayanya lebih ramai orang Qamari di bandar pada hari ini. Barangkali kapal yang dinaiki saudagar Qamari yang diperkatakan oleh Awang minggu lepas sudah sampai di negeri itu.

Semasa berjalan di kawasan pelabuhan, dia ternampak Awang dari jauh. Tanpa berlengah, dia berjalan laju ke arah pemuda pendek itu. “Assalamualaikum, mengapa awak di sini?”

“Waalaikumussalam. Bukanlah. Saya mahu cari nakhoda bernama Abdullah.”

“Dan mengapakah kamu mencari nakhoda itu?”

“Saya ingin berjumpa dengannya dan meminta untuk bekerja sebagai anak kapalnya! Sebelum ini, dia berjanji untuk menilai semula permintaan saya apabila saya mencecah umur 15 tahun. Saya dengar ada khabar angin mengatakan beliau sudah pun sampai semalam! Kapal di hujung sana merupakan kapal miliknya.” Awang kelihatan riang memberitahu maklumat itu pada Renjana.

Renjana melihat kapal yang sedang dibaiki. Dia berdiam diri untuk beberapa ketika. “Boleh saya mengikuti kamu berjumpa dengan tuan Abdullah juga?”

“Adakah abang pun mahu mencuba nasib?”

Renjana mengangguk.

“Baiklah! Ayuh kita cari tuan nakhoda itu.” kata Awang dengan bersemangat.

Mereka berjalan-jalan di seluruh kawasan berdekatan. Mereka juga bertanyakan keberadaan nakhoda itu pada semua anak kapal yang dijumpai mereka. Ada yang tidak tahu kerana mereka bukanlah kelasi dari kapal tuan Abdullah, ada yang berkata bahawa mereka tidak tahu di mana nakhoda itu berada.

Tidak cukup dengan itu, mereka naik pula di atas kapal itu sendiri. Mereka berjumpa dengan seorang anak kapal berbadan kurus yang sedang mengelap lantai kapal. “Tuan Abdullah? Kali terakhir kulihat, beliau berada dengan tuan Tariq.” balas pemuda itu.

“Baiklah, terima kasih atas maklumat itu.” balas Awang. “Nampaknya esoklah kita bertemu dengan tuan Abdullah. Saya rasa kita tidak dapat bertemu dengannya hari ini. Lagipun saya ada tugasan lain yang harus dilakukan petang nanti.”

“Baiklah kalau begitu.” balas Renjana. Mereka mengucapkan salam sebelum berjalan pergi. Daripada pulang ke rumah, dia berjalan-jalan di sekitar bandar semula.

Tiba-tiba ada kekecohan berlaku di pasar. “Anakku! Anakku Sumayyah! Siapa yang nampak anakku Sumayyah?” teriak seorang wanita. Kain batik yang dijadikan penutup kepala jatuh dari bahunya menunjukkan rambut ikal mayang yang sangat cantik dan berkilat.

Dua lelaki sedang cuba menenangkan wanita itu. “Usah khuatir. Kami sudah pun meminta tolong beberapa orang untuk cari anakmu.” jelas salah seorang daripada mereka.

Wanita itu masih kelihatan panik. Seorang wanita berumur berada di sebelah wanita itu dan mengusap-usap belakangnya.

Renjana mahu tahu dengan lebih lanjut apa yang sedang berlaku, namun dia memilih untuk tidak berjumpa mereka untuk bertanya sendiri. Memang kebiasaannya dia akan menjadi pemerhati sahaja walaupun dia berminat untuk tahu lebih lanjut tentang sesuatu.

Beberapa minit kemudian, seorang lelaki berlari ke arah mereka. Selepas sampai ke situ, dia termengah-mengah.

“Tenang… Bernafas dahulu. Kau ada apa-apa maklumat tentang anak perempuan wanita ini?”

“Ada orang kata Sumayyah mengikuti orang yang tidak dikenali. Orangnya berbadan sasa dan sangat tinggi.” kata lelaki itu.

Maklumat yang diberinya membuatkan si ibu lebih panik. “Anakku Sumayyah! Di manakah kau? Ya Allah, Engkau lindungilah anakku Sumayyah.” kata si ibu sambil menadah tangan.

“Rasanya sudah sepenanak nasi sejak kehilangan budak itu.” kata salah seorang lelaki di antara mereka. Renjana pernah mendengar Bayu menyebut ‘sepenanak nasi’ untuk menerangkan betapa lamanya sesuatu jangka masa. Renjana menganggarkan budak perempuan itu hilang dalam 20 hingga 30 minit lepas. Kalau di masa depan, mereka boleh sahaja melaporkan kehilangan budak tersebut di balai polis berdekatan. Tetapi teknologi untuk uar-uarkan kes kehilangan kanak-kanak tiada di sini.

Akan tetapi, ada sesuatu yang pelik berdasarkan apa yang didengarinya.

Tanpa berfikir panjang, dia menegur lelaki itu dan bertanya.

“Siapa yang nampak?”

Mereka semua terkejut apabila ditegur secara tiba-tiba olehnya.

Lelaki yang melaporkan berita itu tadi menuding ibu jarinya pada seorang penjual buah. “Saksinya ialah makcik itu.”

Renjana bertanya lagi. “Apa yang dia nampak?”

“Budak itu ikut seorang lelaki.”

“Lelaki itu buat apa?”

“Berjalan.”

Renjana berfikir sejenak. Dia terfikirkan beberapa kemungkinan. Namun, sebelum dia beritahu apa-apa, dia perlu memastikan sesuatu. Dia berjalan ke arah makcik penjual buah yang ditunjukkan oleh lelaki tadi. “Assalamualaikum, makcik. Saya mahu bertanya. Boleh makcik jelaskan apa yang makcik lihat tentang budak yang hilang itu?”

“Waalaikumussalam. Budak yang hilang itukah? Makcik lihat dia sedang memimpin tangan seorang lelaki warga asing.” balas makcik itu.

“Dia ada pegang barang tak?”

Makcik itu kelihatan keliru mendengar gaya percakapannya, namun dia masih faham apa yang cuba ditanya. “Tidak.” balasnya pendek.

“Dan budak itu tidak menangis?”

Makcik itu menggelengkan kepala.

Renjana mengucapkan terima kasih kepada makcik itu sebelum berpatah balik ke arah mereka semula. Ada satu kemungkinan di fikirannya. Apabila dia tiba semula, dia terus memberitahu mereka. “Apakah kalian sudah mencari budak itu di kawasan penginapan?”

Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut. “Ah, saya tidak terfikirkannya! Saya akan cuba mencarinya di sana.” dengan pantas, dia terus berlari ke arah kawasan penginapan.

“Apa kamu fikirkan?” salah seorang daripada mereka bertanya pada Renjana.

“Saya tidak boleh berikan jawapan buat seketika. Kita tunggu dahulu.” balas Renjana. Dia tidak mahu beritahu apa yang difikirkannya kerana khuatir sangkaannya salah.

Beberapa minit kemudian, lelaki itu datang bersama seorang budak perempuan yang mungkin dalam umur enam atau tujuh tahun.

“Sumayyah!” Ibunya terus berlari ke arah budak tersebut dan memeluknya. “Mengapa kau menjauh dari emak, nak?”

“Sumayyah sedang menolong pakcik tadi menunjuk arah.” balas gadis itu.

“Terima kasih kerana menolong kami.” salah seorang lelaki menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Renjana. Dia berasa janggal dengan layanan yang diberikan.

Si ibu menghulurkan lima keping syiling timah kepada Renjana sebagai tanda terima kasih. Renjana menolak, namun dia tetap menghulurkannya. Akhirnya, Renjana menerima hadiah kecil itu.

Sepanjang perjalanan balik, Renjana berasa sesuatu. Ianya sebuah perasaan yang dia sendiri tidak dapat menerangkannya.

Pada malam itu, sebelum Bayu mula menunaikan solat Maghrib, Renjana menegurnya. “Pakcik, boleh pakcik ajar saya cara untuk solat?”

Permintaannya yang secara tiba-tiba itu mengejutkannya. Tetapi daripada bertanya soalan difikirkannya, Bayu bersetuju.

Pada malam itu Bayu mengajarnya cara untuk mengambil wuduk, rukun solat, rakaat setiap solat fardu dan bacaan penting padanya. Daripada menghakiminya kerana tidak tahu cara menunaikan solat, dia mengajarnya dengan sabar. Renjana yang merupakan seorang yang cepat belajar berjaya melakukan solat fardu beberapa hari kemudian.

Selepas solat Isyak berjemaah di rumah itu, Renjana membuka mulut. “Pakcik,”

“Ya?”

“Saya berhasrat untuk menjadi kelasi.”

Bayu diam seketika. “Aku ingin tahu. Mengapakah kau tiba-tiba mahu menjadi kelasi?”

Renjana cuba mencari jawapan yang masuk akal. Jujurnya, dia tidak fikirkan sebab yang kukuh mengapa dia berhasrat untuk menjadi anak kapal. Idea tersebut muncul dengan sendirinya.

Apabila melihat Renjana sukar untuk memberikan jawapan, Bayu menepuk bahunya. “Tidak mengapa. Pergilah nak. Kau pun sudah besar. Kau mampu membuat keputusan sendiri tanpa meminta izin ku.”

Renjana menundukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.

Beberapa minggu berlalu, dan hari itu akhirnya tiba. Dia diterima bekerja untuk menjadi anak kapal di bawah Di bawah pimpinan tuan Abdullah.

Share:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *