“Assalamualaikum, Bayu! Kau ada di rumahkah?” Sewaktu Renjana sedang membuang duri pada rotan, tiba-tiba ada tetamu datang berkunjung memanggil nama Bayu.
“Waalaikumussalam. Aku di bawah rumah!” Bayu membalas salam tetamu itu. Tetamu mereka itu berjalan ke arah mereka.
“Kau rupanya, Bahari. Ada apa kau ke mari? tikar yang kau minta belum siap lagi.” tanya Bayu.
“Aku datang ke sini bukan kerana tikar. Aku mahu minta tolong Renjana buat sementara.” jelas Bahari. Renjana berasa hairan mendengar jawapan Bahari, tetapi dia tidak menzahirkan rasa itu pada riak wajah atau kata-kata. Dia mengekalkan raut wajah tenang.
“Tetapi, kenapa Renjana? Bukankah kau selalunya meminta bantuan Kasturi?”
“Kasturi jatuh pokok semalam. Sekarang dia dirawat oleh tok Atma. Dia mencadangkan Renjana untuk menggantikan tempatnya.” balas Bahari.
“Oh, begitu…” Bayu mengangguk. Dia memandang Renjana. “Renjana, kau pergilah tolong tuan Bahari. Tidak mengapa, aku boleh buat kerja ini sendirian.”
Renjana mengangguk. Dia meminta diri sebelum pergi mengikuti Bahari dari belakang.
✿✿✿
Selepas 25 minit berjalan kaki, mereka tiba di sebuah bandar. Bandar tersebut kelihatan maju jika dibandingkan dengan pekan tempat Bayu berniaga. Mereka melalui bangunan yang rata-rata nampak lebih cantik senibinanya. Kawasan pasar pun sangat meriah. Suasananya serupa dengan pasar malam pada abad ke -21 dimana ada pelbagai gerai disusun secara memanjang.
Mereka berdua melalui pelbagai gerai yang menjual bermacam-macam barang. Ada yang menjual minyak wangi, ada yang menjual kain, ada yang menjual barang kemas.
Selain orang tempatan, ada juga orang dari negeri lain. Yang mengagumkannya adalah mereka mampu bertutur dalam bahasa tempatan. Lain pula dengan zaman moden di mana orang dari berlainan negara berbual menggunakan bahasa Inggeris. Dia fikir mungkin bahasa Inggeris tidak digunakan secara meluas seperti dunia moden.
Selepas mereka keluar dari pasar itu, mereka melalui tempat pelabuhan. Beberapa anak kapal yang tinggi dan berbadan besar sedang memindahkan barang dari kapal ke sebuah bangunan yang agak jauh dari kawasan perlabuhan. Diantara mereka, ada seorang pemuda yang berbadan kecil yang turut sama mengangkat barang dari kapal itu. Dia dalam kategori pendek walaupun jika dibandingkan dengan ketinggian orang tempatan, namun tidak cukup pendek untuk dipanggil sebagai orang kerdil.
“Tugas kau adalah mengangkat barang dagangan orang Qamari ke gudang di sebelah sana. Aku sudah beritahu nakhoda yang aku minta orang baru untuk membantu mereka. Jikalau kau jumpa tuan nakhoda itu nanti, beritahu dia aku yang menghantar kau ke sini. Cari saya lelaki berbadan besar dan berjanggut putih dan panjang. Matanya sepet, tidak seperti orang Qamari yang lain.” jelas Bahari.
“Baiklah.” Renjana terus bertindak selepas menundukkan kepala sedikit kepadanya.
Renjana naik ke atas kapal dan cuba mencari nakhoda itu. Matanya tertumpu pada seorang lelaki berbadan tegap dan memakai serban di kepala. Janggut putihnya panjang dan lebat. Renjana berjalan ke arah lelaki itu dan menegurnya. “Assalamualaikum, tuan. Saya Renjana, pembantu yang dihantar oleh tuan Bahari.”
“Waalaikumussalam. Ya, Bahari. Saya ingat orang tersebut. Jadi kamulah orang yang menggantikan pemuda itu.” balas nakhoda itu. Renjana beranggapan ‘pemuda’ yang dimaksudkannya ialah Kasturi.
“Angkat barang dagangan dari ruang simpan barang ke gudang.” jelas nakhoda itu. Renjana terus mulakan kerjanya.
Disebabkan dia tidak mengetahui lokasi gudang, dia mengikut pemuda pendek itu.
Semasa meletakkan barang bersebelahan dinding, pemuda itu menegurnya. “Abang pekerja baru tuan Baharikah?”
“Saya cuma ganti tempat Kasturi buat sementara waktu. Dia tak dapat kerja buat sementara waktu ni.” balas Renjana.
“Oh…” pemuda itu mengangguk. “Siapakah nama abang?” dia bertanya lagi.
Peramah pulak budak ni, fikir Renjana. “Saya Renjana.” balasnya pendek. Dia terus bangun dan berjalan keluar dari gudang itu.
Pemuda tadi mengikutinya. “Abang umur berapa? Dimanakah abang tinggal? Saya tidak pernah melihat abang sebelum ini.”
Renjana mula berasa rimas. Dia bukanlah seorang yang peramah dan banyak bercakap, tetapi dia juga tidak berasa selesa jika dia tidak mengendahkan pemuda itu. “Saya tinggal di kampung seberang bersama pakcik Bayu.”
“‘Pakcik’? Jadi abang ahli keluarga tuan Bayu?”
“Tak, saya hanyalah orang luar yang diselamatkan olehnya. Saya tiada tempat tinggal, jadi saya menumpang di rumahnya.” jelas Renjana.
Pemuda itu berjalan di depan Renjana dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Saya Awang! Saya tinggal di kampung Alai.”
Renjana menghulurkan tangannya menyambut salam Awang. Dia berikan senyuman kecil supaya kelihatan mesra.
Mereka sambung mengangkat barang dan menyusunnya di gudang. Selepas selesai tugas mereka, Renjana berjumpa dengan nakhoda kapal untuk melaporkan diri yang tugasnya sudah selesai sebelum dia balik semula ke rumah.
✿✿✿
Pada keesokan hari, Bahari datang lagi untuk meminjam Renjana. Kali ini, dia meminta Renjana untuk membersihkan dua tempat penginapan miliknya.
Di sana, dia bertemu lagi dengan Awang. “Assalamualaikum.” Awang tersenyum gembira melihat Renjana di tempat penginapan itu.
Renjana menghulurkan dua tikar kepada Awang dan seorang lagi pemuda yang berada di rumah itu. “Tuan Bahari suruh kita bentangkan tikar ni.” kata Renjana pada mereka. Pemuda di sebelah Awang yang bernama Ali memberitahu tugasan yang perlu mereka lakukan di rumah penginapan itu kepada Renjana. Salah satunya adalah menukar cadar katil dan selimut, menyapu lantai, membersihkan almari dan menggantikan langsir. Berdasarkan maklumat yang didapat dari Bahari, penginap rumah itu ialah seorang saudagar Qamari, tuan Tariq.
“Saya dengar tuan Tariq berkahwin dengan orang tempatan dari kampung Gadik. Abang tinggal dengan tuan Bayu di kampung itu, bukan? Abang tahu siapa isteri tuan Tariq?” Awang bertanya pada Renjana.
Oh, jadi kampung yang dia tinggal namanya kampung Gadik. “Saya tak tahu, maaf.” balas Renjana.
Bahu Awang merosot ke bawah, tubuhnya nampak lemah dan lesu. Dia sangkakan dia dapat tahu dengan lebih lanjut mengenai saudagar dari Barat itu.
“Abang merantau dari negeri lain, bukan? Sejauh mana abang merantau?” Awang menukar topik perbualan mereka.
Renjana terdiam. Dia belum fikirkan jawapan untuk soalan sebegitu. “Tak jauh pun. M–maksud saya, saya tidak merantau jauh dari sini.” Renjana menukar gaya bahasanya apabila Awang kelihatan keliru mendengar jawapannya asalnya. Dia masih tidak biasa menggunakan bahasa Melayu baku semasa bercakap.
“Saya teringin merantau mengelilingi dunia. Saya dengar salah satu cara mudah adalah menjadi anak kapal dari negeri Qamarah. Mereka banyak merantau ke negeri orang di Timur dan Barat. Abang pernah dengar tentang orang Feringgi?” Awang bertanya.
Orang Feringgi ialah orang berkulit putih yang tinggal di atas peta dunia. Kebanyakan negara di sana mempunyai empat musim — musim sejuk, musim panas, musim luruh dan musim bunga. Itu yang Renjana tahu semasa menjalankan salah satu misi di dunia moden.
“Saya dengar negeri orang Feringgi sangat sejuk. Saya juga mahu melihat budaya di negeri lain.” jelas Awang. Renjana hanya mendengar luahannya. “Saya sudah pun berumur 15 tahun. Saya pinta tuan Bahari untuk mengambil saya bekerja supaya saya dapat mendekatkan diri dengan nakhoda dari negeri itu. Alangkah gembiranya jikalau impian saya ditunaikan.”
Renjana tidak tahu cara orang mencari kerja di zaman ini. Jika di zaman moden, orang yang mencari kerja akan menghantar dokumen ringkas (satu hingga dua halaman) yang merumuskan maklumat peribadi, pendidikan, kemahiran, dan pengalaman kerja kepada majikan. Jika terpilih, mereka kemudiannya akan menjalani sesi temuduga dan beberapa ujian lain. Bagi kerja-kerja ‘bawah tanah’, mereka perlu mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk mencari seseorang yang boleh membawa mereka kepada ketua kumpulan dan menawarkan pekerjaan. Untuk situasinya, dia dipaksa untuk bekerja selepas dia menunjukkan kebolehannya untuk melakukan kerja kotor. Jika tidak, rancangan asal mereka adalah untuk menjual organ dalamannya untuk membayar hutang keluarganya yang dia tidak mampu bayar.
✿✿✿
Pada malam itu, Renjana termenung jauh. Dia mengenangkan topik perbualannya dengan Awang siang tadi.
Sepanjang hidupnya, dia hidup sekadar untuk bertahan. Sejak kecil lagi, dia membantu ibunya mengutip tin dan besi untuk dijual. Apabila ibunya meninggal dunia, dia bekerja oula bawah si pengutip hutang. Apabila kumpulan mereka dibunuh, dia dilatih pula untuk membuat kerja kotor lain. Baginya, asalkan dia dapat hidup untuk keesokan hari, dia tidak akan merungut.
Di dunia ini, lain pula hidupnya. Pada mulanya, dia ada memikirkan bagaimana cara untuk kembali semula ke masa depan. Tetapi selepas berada di zaman ini, dia menjalani hidup seperti orang biasa. Dia tidak hidup dalam kemiskinan, tidak perlu sentiasa dalam keadaan bersedia jika ada orang menyerangnya dari belakang, tidak perlu mengambil kerja kotor untuk dapatkan benda keperluan seperti makanan dan tempat tinggal. Dia hanya perlu menganyam bakul mencari rotan, menangkap ikan untuk dimasak kemudiannya, dan berniaga.
Apa aku mahu buat dengan hidup baru aku sekarang ni? Perlukah aku terus berikhtiar untuk balik ke masa depan? Pada malam itu, Renjana memikirkan tentang masa depannya yang baru hingga dia tertidur.