Untuk beberapa hari pertama, dia hanya duduk di dalam rumah. Seorang perawat tradisional yang merupakan lelaki dalam umur pertengahan tahun datang melihat keadaan Renjana. Dialah yang menggantikan balutan di bahunya dan memberikan campuran herba untuk diminumnya. Dia juga orang yang mengeluarkan peluru dari bahunya semasa dia pengsan.
“Nasib baik peluru tidak menembusi dada kamu, nak. Tetapi aku musykil dengan rupa peluru yang ada pada bahu kamu. Di mana kamu tinggal?” perawat itu bertanya sambil membalut bahu Renjana dengan kain pembalut yang baru.
“Uh… Maaf, saya sendiri pun tak tahu.”
Perawat itu kelihatan keliru mendengar kata-kata Renjana. “Aneh sungguh cara kamu bertutur.” balasnya. Renjana hanya tersenyum janggal mendengar kata-katanya. Dia tidak tahu jika dia patut belajar gaya bahasa zaman ini atau tidak. Jika dia mahu duduk di tempat ini dalam masa yang lama, tidak salah untuk dia mempelajarinya.
Perawat mengucapkan salam sebelum keluar. Renjana membalas salamnya. Berdasarkan gaya hidup Bayu dan perawat itu, Islam telah bertapak di negara ini. Pada waktu awal pagi, dia ternampak Bayu sedang mendirikan solat menggunakan tikar mengkuang. Apabila satu bunyi bergema dengan sayup — barangkali ianya bunyi seseorang mengetuk beduk di masjid menandakan waktu solat — Bayu memberitahu Renjana yang dia pergi ke masjid untuk solat berjemaah dengan orang kampung yang lain.
Semasa ketiadaannya, Bayu berjalan di sekitar luar rumah kayu itu. Di bawah rumah, ada bangku kayu yang lebar permukaannya. Di atasnya ada banyak daun mengkuang dan sebuah tikar yang separuh siap. Di bawah, sebelah bangku itu ada beberapa rotan yang diikat dengan sesuatu seakan tali. Jika dia perlu meneka, mungkin Bayu menggunakan sabut kelapa sebagai tali.
Semasa Renjana sedang mengamati hasil anyaman tikar yang belum siap itu, dia terdengar suara Bayu memberi salam sambil kakinya berjalan menaiki tangga. “Saya dekat bawah, pakcik.” kata Renjana dengan kuat untuk memastikan Bayu dapat mendengar suaranya dari bawah rumah.
“Oh, di sini rupanya kamu! Mengapa kamu berada di bawah?” Bayu menurun tangga semula dan berjalan ke bawah rumah.
“Saya cuma mahu melihat sekitar rumah.” balas Bayu dengan senyuman. Dia cuba untuk mimik gaya percakapan Bayu. Dia memilih untuk menggunakan bahasa Melayu baku dan mengelakkan perkataan moden.
“Ayuh kita makan. Orang kampung sedekahkan makanan untuk kita berdua.” Bayu menepuk belakang Renjana. Renjana berjalan di hadapan Bayu dan masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.
Ada beberapa bungkusan daun di atas tikar mengkuang yang lebar. Bayu duduk bersila dan membuka sebuah bungkusan yang berisi nasi. Apabila Renjana duduk berhadapan dengannya, Bayu menghulurkan lagi satu bungkusan nasi padanya. Renjana meneliti balutan daun itu sebelum dia membukanya. Bayu kemudiannya membuka lagi satu bungkusan makanan mendedahkan ikan keli bakar. Bungkusan terakhir dibuka menunjukkan kerabu kacang botol.
Bayu menadah tangan membaca doa sebelum makan dengan perlahan namun masih boleh didengari oleh Renjana. Dengan kekok, dia pun menadah tangan mendengar bacaan doanya. Selepas itu, barulah mereka mula menjamah makanan.
“Nak, maaf jikalau saya bertanyakan soalan ini. Adakah kamu orang Islam?” Bayu bertanyakan soalan pada Renjana.
Renjana tidak tahu apa yang mahu dijawab. Orang Melayu pada abad ke-21 secara semula jadi dianggap beragama Islam dalam dokumen rasmi. Dia selalu melihat ibunya mendirikan solat fardu dan membaca doa panjang selepas solat. Ibunya tidak sempat untuk mengajarnya cara untuk solat, tetapi dia ada mengajar untuk selalu menadah tangan dan mengucapkan syukur kepada Allah apabila dia diberikan rezeki. Selepas ketiadaannya, dia tidak pernah berdoa atau cuba untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Tugasan hariannya juga menjadi faktor utama dia semakin menyimpang dan jauh dari agamanya.
“Ibu saya bagitahu yang semua orang dilahirkan sebagai orang Islam termasuklah saya. Namun saya tidak pernah membuat apa-apa amalan sepanjang hidup saya.” balas Renjana.
“Kalau kamu berminat, mari kita ke masjid pada waktu Asar nanti. Lagipun orang kampung mahu berjumpa denganmu.” Ajakan Bayu menyebabkan Renjana terasa sesuatu di dadanya. Dia tidak tahu apakah perasaan yang dirasakannya sekarang ini. “Saya boleh ikut?”
“Ya, nak. Kamu boleh.” Bayu tersenyum.
Selepas berfikir sejenak, Renjana setuju untuk mengikuti Bayu ke masjid.
✿✿✿
Beberapa minit selepas bunyi beduk bergema, Renjana mengikuti Bayu berjalan ke masjid dari belakangnya. Mereka berjalan melintasi beberapa rumah kayu yang lain. Ada yang kelihatan usang dan tidak terjaga, ada juga yang lebih besar dan cantik berbanding rumah kampung yang lain. Hanya rumah Bayu yang paling lebih jauh dan hampir dengan hutan belantara.
Apabila sampai di perkarangan masjid, ada dua lelaki datang menegur mereka berdua. “Assalamualaikum, Bayu! Inikah anak muda yang kau ceritakan semalam?”
“Waalaikumussalam. Benar, inilah anak muda yang aku ceritakan. Renjana, ini Alang. Yang ini pula namanya Kasturi.” Bayu memperkenalkan dua lelaki itu, dengan menunjukkan lelaki tua yang tinggi sebagai Alang dan lelaki berjanggut sebagai Kasturi. Renjana bersalaman dengan kedua-duanya.
“Selamat datang ke kampung kami. Kamu nampak sangat muda. Berapakah umur kamu?” Kasturi memberikan soalan.
“Umur saya 17 tahun.” balas Renjana.
“Badan kamu nampak tegap dan sihat. Jikalau kamu mahu mencari isteri, saya boleh jodohkan kamu dengan anak perempuan saya, si Chempaka.” Alang tersenyum dengan lebar.
“Saya akan ingat tawaran enci– tuan.” Renjana membalas senyumannya. Renjana tidak jadi untuk menggunakan kata ganti nama diri ‘encik’ dan menggantikannya dengan ‘tuan’. Dia bimbang jika ia dikira sebagai perkataan moden.
“Bayu beritahu kami yang kamu dari negeri lain. Kenapa kamu berpindah ke sini?” Alang bertanyakan soalan baru.
“Uh…” Renjana tidak tahu apa yang perlu dia jawab. Jelas sekali Bandar Kirara dan Selagor tidak wujud dalam abad ini. Kalau dia menyebut nama negara pun mereka tidak tahu.
Renjana akhirnya mendapat akal. “Bandar tersebut sudah tiada. Saya seorang sahaj yang terselamat. Kini saya merantau ke negeri orang.”
Raut wajah Alang dan Kasturi berubah. “Maaf kerana bertanya soalan itu.” ujar Alang.
“Tidak mengapa. Saya baik-baik saja.” balas Renjana.
“Adakah orang yang mencederakan kamu di sungai itu orang yang sama yang mengancam bandar kamu?” tanya Bayu.
Renjana terdiam lagi sekali. Jawapan palsu apa lagi aku patut bagi? Selepas memikirkan penipuan baru dalam masa yang singkat, Renjana menjawab, “Ya, benar sekali.”
“Tidak mengapa. Kalau kamu perlukan bantuan, beritahu saja pada saya dan orang kampung. Kami ada ramai pemuda yang berkebolehan untuk membantu kamu menghalau orang tersebut.” balas Kasturi sambil menepuk dadanya.
Tak perlu risau, orang tu tak akan kacau aku. Kecuali jika mereka pun mengembara ke garis masa yang sama dengannya, dia tidak perlu risau.
“Kenapa kita masih berdiri di sini? Ayuh, kita masuk ke dalam masjid.” Kasturi mengalihkan perhatian mereka bertiga dengan mempelawa mereka masuk ke dalam masjid.
“Kamu duduklah di sini, ya. Saya mahu solat.” kata Bayu.
Renjana menundukkan kepala dan terus duduk bersebelahan pintu masuk. Bayu dan beberapa lelaki lain masuk ke dalam saf. Mereka solat mengikuti imam yang berada di hadapan sekali.
Sepanjang mereka solat, Renjana tidak mengalihkan pandangan. Entah bagaimana, dia berasa tenang berada di situ. Kerisauannya mengenai situasi dia hilang buat seketika. Sebaliknya, dia memikirkan tentang kehidupannya sebelum ini.
Sepanjang hidupnya, sekalipun dia tidak pernah berdoa kepada Yang Maha Esa, jauh sekali mengerjakan ibadah lain. Hal ini termasuklah kelima-lima rukun Islam. Satu-satunya memorinya mengenai agamanya ialah melihat ibunya sembahyang fardu dan mengajarnya untuk mengucapkan rasa syukur pada Ilahi.
Selepas mereka selesai sembahyang, Renjana bangun dari tempat duduknya.
“Ayuh, kita pulang.” kata Bayu. Mereka menggunakan jalan yang sama untuk balik semula ke rumah Bayu.