Renjana berlari ke arah jambatan sungai. Rancangannya adalah menyorok di bawah jambatan. Jika dia terdesak, mungkin dia akan masuk ke dalam sungai dan menahan nafas di situ. Dia tidak tahu bagaimana untuk berenang, tetapi dia yakin dia sekurang-kurangnya boleh menahan nafas.
Semasa dia berlari ke arah jambatan, dia terdengar bunyi beberapa tapak kaki yang semakin kuat.
Renjana melihat sekelilingnya. Tiada pokok besar dan semak-samun yang cukup tinggi untuk dia menyorok. Bunyi tapak kaki semakin kuat. Mungkin bilangan orang yang mengejarnya lebih kurang tiga orang kesemuanya. Dia tidak tahu kiraannya betul atau tidak, tetapi dia boleh menganggarkan bilangannya.
Selepas lama berteka-teki, akhirnya Renjana memilih untuk menoleh ke belakang. Memang betul, ada tiga orang sedang mengejarnya. Sebelah tangan mereka memegang pistol. Disebabkan mereka jauh dari Renjana, mereka tidak melepaskan tembakan.
Jambatan sungai kelihatan di mata Renjana. Dia cuba untuk memaksanya untuk berlari sedikit lagi walaupun dia semakin penat daripada berlari tanpa henti. Dia boleh melakukan kerja fizikal, tetapi badannya masih tidak mampu dilatih untuk berlari sepanjang ini.
Pergerakan Renjana semakin perlahan. Dia sudah tidak mampu untuk memecut ke arah jambatan yang lebih kurang 15 meter lagi jaraknya. Bunyi tembakan bergema di seluruh kawasan. Renjana tidak boleh menyorok di bawah jambatan seperti yang dirancangnya sebentar tadi. Dia perlu mencari tempat persembunyian baru.
Renjana terpaksa perlahankan gerakannya. Ada kayu lantai jambatan yang reput, jadi dia perlu peka dengan kayu mana yang dipijak.
Semasa dia berada di tengah-tengah jambatan, dia terasa seperti ada sesuatu di belakangnya. Renjana terjatuh dari jambatan tersebut dan terus masuk ke dalam sungai. Dia terasa sakit di belakang bahu kirinya. Dia cuba untuk terapung semula ke permukaan air, namun dia tiada kekuatan untuk bergerak lagi. Dia hanya mampu menggapaikan tangan kanannya seolah-olah dia cuba untuk memegang sesuatu yang boleh menariknya keluar dari air sungai itu.
Nafasnya muka tersekat-sekat. Air mula memasuki peparunya. Badannya semakin menjauhi permukaan sungai. Pada waktu ini, Renjana terfikirkan semula kehidupannya sebelum ini.
Sejak kecil, dia dijaga oleh ibunya yang juga merupakan seorang ibu tunggal. Ayah menamatkan riwayatnya untuk lari dari pengutip hutang. Pada umur empat tahun, ibunya pula meninggal dunia kerana sakit jantung. Mereka tiada duit yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan, jadi ibu hanya menunggu masa sahaja Tuhan mengarahkan malaikat Izrail untuk menarik nyawanya.
Beberapa tahun kemudian, akhirnya dia mencecah umur 17 tahun dan mengambil tugas sebagai pembunuh upahan. Dan kini dia di ambang maut.
Renjana cuba untuk berenang ke atas permukaan air dengan sisa tenaga yang tinggal. Matanya menjadi kabur. Dia sudah tiada kudrat untuk bergerak lagi.
Tiba-tiba, tangannya ditarik keluar dari air sungai tersebut. Suara orang bercakap samar-samar di telinganya. Barangkali orang tersebut ialah salah seorang yang mengejar dia tadi.
Pada masa itulah, penglihatannya menjadi gelap. Dia hilang kesedaran di situ.
✿✿✿
Renjana terasa seperti dia sedang baring di atas lantai. Kepalanya dilapik dengan sesuatu yang lembut. Badannya terasa sedikit sejuk. Ia seperti dia tidak memakai baju langsung. Hanya seluar satu-satunya pakaiannya.
Tiba-tiba realiti memukulnya. Memori terakhirnya adalah dikejar oleh tiga orang yang mahu membunuhnya.
Renjana terus terbangun dari tidurnya. Dia melihat sekelilingnya. Dia berada di sebuah rumah kayu yang agak usang. Tempat dia beradu sebentar tadi dilapik dengan tikar pandan yang mempunyai corak yang menarik. Ada sedikit kesan koyakan di hujung tikar itu. Bantal yang digunakan pula merupakan kain yang diisi dengan kelambu.
Bahu kiri Renjana dibalut dengan kain pembalut, namun ianya bukan kain pembalut yang diketahuinya. Kain tersebut seperti kain biasa yang orang gunakan untuk membuat baju. Seluar yang dipakainya sekarang bukanlah seluar sebenarnya.
Pelbagai soalan berlegar di fikirannya, namun dia memilih untuk berdiam diri dan membuat analisis secara senyap daripada terus menjadi panik.
“Bangun juga kamu akhirnya.” ada suara didengari di belakang Renjana. Dia menoleh ke belakang dan melihat seorang orang tua. Tangannya sedang memegang bakul yang penuh dengan sayur-sayuran. “Saya fikirkan kamu tidak akan bangun.”
“Saya kat mana ni?”
Dahi orang tua itu berkerut mendengar kata-kata Renjana. “Kamu di rumah saya.” balasnya. Dia menghulurkan sebuah labu berisi air kosong pada Renjana.
Renjana mengambil labu tersebut. Mukanya jelas menunjukkan yang dia berasa hairan apabila dihulurkan sebuah labu dan bukanya cawan plastik atau gelas yang biasa orang gunakan. “Uh, apa ni?”
“Kamu bukan penduduk tempatan di sini ya? Bahasa Melayu kamu aneh sungguh.” Orang tua itu duduk bersila di sebelah Renjana.
“Saya dekat dunia bunian ke?” entah mengapa, itu merupakan perkara pertama yang difikirkan dalam logik akal Renjana. Seingat dia, dia jatuh ke dalam sungai dan hilang kesedaran. Boleh jadi dia diselamatkan oleh makhluk ghaib seperti bunian dan di bawa ke dunia mereka.
Orang tua itu tergelak besar. “Tidak, saya bukanlah bunian. Saya hanya manusia biasa. Kamu bukan di alam bunian.Sebaliknya saya fikirkan kamulah bunian itu.”
“Saya bukan bunian.” tegas Renjana, menunjukkan raut wajah selambanya.
“Kalau begitu, di mana kamu berada?” soal orang tua itu.
“Saya dari Bandar Kirara.” balas Renjana. Jawapan yang diberikan adalah palsu. Disebabkan tugasnya, dia tidak boleh memberitahu sesiapa di mana dia berada, lebih-lebih lagi jika dia sedang bertugas. Boleh jadi orang tua ini merupakan kenalan atau klien kumpulan kongsi gelap yang dia cuba melarikan diri malam tadi.
“Bandar Kirara? Dimanakah lokasi bandar tersebut? Adakah ia dari negeri lain?” Orang tua itu kelihatan lebih berminat untuk mengetahui lebih tentang tempat itu. Reaksi yang diberikan olehnya membuatkan Renjana berasa tidak selesa.
Mungkin orang tua ni tak pernah melawat negeri lain kot. Jikapun begitu, Renjana masih berasa pelik dengan situasi yang dia berada sekarang ini.
“Uh, Bandar Kirara tu dalam Selagor je. Kita masih dekat Selagor, kan?” Renjana menyoalnya.
“Selagor? Saya tidak pernah mendengar nama negeri itu. Kamu sekarang berada di Negeri Nusaraya.” jelas orang tua itu.
“Jangan main-main, pakcik.” balas Renjana. Negeri Nusaraya? Bukankah itu kesultanan Melayu pada zaman dahulu? Sepatutnya kerajaan itu sudah lama pupus beberapa abad lepas! Sejarah bukanlah kepakarannya. Dia tidak pernah diajar mengenai sejarah tanah airnya. Dia hanya tahu perkara umum seperti negara yang menjajah negara ini, tarikh kemerdekaan negara, dan nama kesultanan Melayu sebelum penjajahan orang Eropah.
Orang tua itu masih kelihatan keliru. Renjana cuba memikirkan soalan lain untuk mengesahkan syak wasangkanya. “Baiklah, kalau macam tu, sekarang tahun ke berapa?”
“Kita berada di bulan Rabiul Akhir tahun 915 hijrah.”
“Uh, saya nak tarikh masihi punya.”
“Maaf, saya tidak tahu sistem tarikh dari negeri lain.”
Jawapan orang tua itu mengukuhkan sangkaannya.
Entah bagaimana, dia mengembara ke zaman dahulu. Nama kawasan, negeri Nusaraya. Mungkin ini merupakan zaman sebelum penjajahan orang Eropah. Atau mungkin ini alam semesta yang berbeza? Renjana mendengus dengan kuat. Apa yang ada hanyalah soalan tanpa jawapan yang jelas.
“Berehat dahulu, nak. Saya mahu ke hutan mencari rotan.”
“Uh, maaf. Apa saya boleh panggil pakcik?”
“Orang tempatan memanggilku Bayu. Tetapi jikalau kamu lebih selesa memanggilku pakcik seperti sekarang, boleh juga. Siapa nama kamu?” balas orang tua itu.
“Saya Renjana.” balas Renjana, pendek.
“Cantik nama kamu. Saya keluar dahulu, ya.” Bayu bangun dan keluar dari rumah itu. Pintu keluar ditutup dengan perlahan.
Renjana bersandar di dinding. Dia perlu fikirkan apa yang dia perlu lakukan sekarang. Adakah dia patut menyiasat dahulu dunia ini? Perlukah dia ke sungai tempat dia ditemui oleh Pakcik Bayu?
Renjana cuba menenangkan diri. Sambil meneguk air, dia cuba fikirkan rancangannya buat masa sekarang.
Buat masa ni, baik aku tengok keadaan di sini dulu. Fikirnya di dalam hati.