Beberapa minggu sudah berlalu sejak hari pertama dia meninggalkan negeri Nusaraya. Mungkin dalam minggu ini, mereka akan sampai di Kerajaan Qin. Renjana sudah hafal jenis tugasan di atas kapal itu. Dia tidak perlu lagi menunggu arahan untuk melakukan sesuatu. Hidupnya sungguh sistematik pada saat ini. Namun, ada sesuatu yang membuatkan dia tertanya-tanya.
Laila sering mengikutinya dari belakang dan memerhatinya membuat kerja. Entah mengapa, Laila seperti berminat dengan Renjana. Itu yang difikirkannya, kerana apa lagi sebab untuk seorang budak berumur empat tahun mahu memerhatikannya dalam masa yang lama?
“Adik perlukan apa-apa?” Renjana menegur Laila yang sedang duduk di lantai.
Laila menggelengkan kepala.
Jadi apa dia nak? Renjana tidak bertanya lagi dan sambung membuat kerjanya.
Pada keesokan harinya, semasa Renjana sedang mengikat tali layar, Laila menegurnya. “Apa kegunaan tali itu?”
“Untuk pastikan layar tidak bergerak.”
“Apa kegunaan layar?”
“Untuk menggerakkan kapal.”
Laila mengangguk. Dia tidak bertanya lagi. Dia kembali duduk di satu sudut dan sambung melihat Renjana.
✿✿✿
Semasa Renjana sedang menjamah makanan, ekor matanya ternampak sosok badan kecil masuk ke dalam ruang makan. Renjana fikirkan yang kru lain akan memberitahunya untuk keluar dari situ kerana ianya merupakan ruang untuk kru sahaja. Sebaliknya berlaku, mereka menegur Laila dan bertanya jika dia mahu makan apa-apa. Laila yang masih sedang belajar bahasa baru cuma menggelengkan kepala.
Mungkin Laila sunyi di atas kapal ini. Tiada pensil warna dan kertas mewarna untuk diwarnakan, tiada buku bergambar untuk dibaca. Adakah benda sebegitu wujud di zaman ini? Dia meraguinya.
Laila juga tiada rakan sebaya untuk bermain bersama. Jadi mainan jenis apa sahaja yang dimilikinya? Renjana sendiri tidak pernah memiliki mainan, namun dia tahu bahawa kanak-kanak seperti Laila perlukan satu hiburan untuk mereka seperti mainan dan bahan bacaan.
Laila datang ke meja Renjana dan duduk berhadapan dengannya. “Abang selalu makan cepat.” Laila menegurnya. “Walid memberitahu untuk jangan makan dengan gelojoh.”
“Abang perlu makan cepat supaya abang boleh sambung kerja.”
“Kelasi tidak boleh berehat lebih lamakah?”
Renjana menyuap suapan terakhirnya. “Bagi kami, kami sudah cukup rehat.”
Laila mengangguk. Semasa Renjana mengemas mejanya, Laila menghulurkan sebiji buah ciku. “Apa ni?”
“Ciku.”
“Abang tahu. Tetapi kenapa berikan pada abang?”
“Untuk abang.”
Renjana tidak faham kenapa tiba-tiba sahaja Laila mahu berkongsi buah miliknya. Dia mencapai buah ciku itu. “Terima kasih,” kata Renjana.
“Saya perlu pergi, sedang menunggu.” Laila bangun dari tempat duduknya dan keluar dari ruang makan itu.
✿✿✿
“Aku dengar kita akan sampai di pelabuhan Kerajaan Qin pada hari lusa.” kata Malik pada Renjana.
“Oh…” Renjana membalas. Ini merupakan pertama kali dia sampai ke negara —atau ‘negeri’— lain. “Bahasa apa yang perlu kita gunakan?”
“Di kawasan bandar, boleh saja kita bercakap dalam bahasa Arab dengan peniaga-peniaga di sana. Elakkan dari berjumpa dengan orang biasa kerana rata-rata penduduk di Kerajaan Qin tidak tahu mana-mana bahasa bahasa perantara.” jelas Malik.
“Bahasa Arab juga adalah bahasa bahasa perantara?” tanya Renjana.
“Ada beberapa bahasa yang dipilih sebagai bahasa perantaraan, misalnya bahasa Arab, bahasa Melayu, dan bahasa Latin.”
“Bagaimana pula dengan bahasa orang Qin?”
“Setahu aku, sama juga. Saudagar dari luar mempelajari bahasa orang Qin untuk memudahkan aktiviti jual beli.”
Renjana mengangguk. Kalau di zaman moden, bahasa perantaraan paling popular ialah bahasa Inggeris jika tidak silap. Skil bahasa Inggerisnya biasa-biasa sahaja, cukup untuk perbualan harian.
“Apa kau mahu buat di sana nanti?” Renjana bertanya pada Malik.
“Hmm…” Malik berfikir buat seketika. “Mungkin aku mahu cuba makanan di sana. Tetapi aku perlu risau pula tentang makanan halal.”
Makanan halal merupakan makanan dan minuman yang dibenarkan oleh hukum syarak untuk dimakan oleh umat Islam. Makanan paling selamat untuk mereka tanpa memikirkan soal halal ialah makanan laut dan makanan berunsurkan tumbuh-tumbuhan.
“Boleh sahaja kita makan makanan berunsurkan tumbuh-tumbuhan, kan?” tanya Renjana.
Malik mengeluh. “Tetapi aku tidak mahu makan sayur-sayuran sahaja. Tetapi aku dengar kebanyakan rakyat di kerajaan itu suka makan khinzir dalam kehidupan seharian mereka. Jadi sukar untuk berjumpa dengan kedai makan yang tidak menyediakan khinzir.”
Sukar juga kehidupan di negara orang, lebih-lebih lagi jika ianya bukan negara Islam seperti Nusaraya dan Qamarah.
Malik mengajak Renjana untuk masuk ke dalam untuk bersedia menunaikan solat Asar.
✿✿✿
Mengikut perkiraan Renjana dan maklumat yang didapati dari Malik semalam, mereka dijangka akan sampai di pelabuhan Kerajaan Qin pada keesokan hari. Apa yang perlu Renjana lakukan semasa berada di sana nanti? Adakah dia patut berjalan-jalan dan membeli barang di sana? Tetapi dia tidak yakin yang wang yang dimilikinya cukup untuk di belanja sesuka hati. Adakah mereka akan mendapat elaun tambahan nanti?
Semasa Renjana sedang asyik dengan fikirannya, tiba-tiba bahu kirinya ditepuk dengan perlahan. Renjana terus berdiri tegak dan memandang orang yang menepuk bahunya itu. “Jauh kamu termenung. Apa yang ada di fikiranmu?” tanya Tuan Tariq.
Malik tidak sangka Tuan Tariq akan menegurnya. Selama ini, dia hanya memberi salam pada Tuan Tariq apabila mereka berselisih. Apa agaknya Tuan Tariq mahukan daripadanya?
“Assalamualaikum, tuan.” Renjana menundukkan badannya tanda hormat.
“Waalaikumussalam. Kamu seperti orang Qin. Mereka juga tunduk tanda hormat pada orang berlainan pangkat. Adakah keluarga kamu orang Qin?” Tuan Tariq bertanya.
“Tidak, tuan.” jawab Renjana.
“Kamu pernah melawat negeri orang?” Tuan Tariq bertanya lagi.
“Tidak, tuan. Saya…” Renjana cuba memikirkan jawapan yang sesuai. “Saya tidak pernah meninggalkan Nusaraya.”
Tuan Tariq mengangguk. Renjana tidak berganjak dari tempatnya. Memori mengenai latihan keras dari orang terdahulu membuatkan dia sukar untuk membuat tabiat sebegini.
“Kamu berlagak seperti seorang askar.” Tuan Tariq ketawa. “Adakah kamu pernah bertugas sebagai pengawal peribadi atau askar sebelum ini?”
“Tidak, tuan.” balas Renjana dengan ringkas. Ramai orang di atas kapal ini berfikir bahawa Renjana pernah bekerja sebagai seorang askar atau pengawal. Tetapi Renjana sukar untuk membuat tabiat ini. Pengalamannya sebelum ini membuatkan Renjana sukar untuk mengubah tindakan refleks seperti ini.
“Kerja apa saja yang pernah kamu buat?” soal Tuan Tariq.
Dari pemerhatian Renjana sekarang ini, Tuan Tariq tertarik untuk mengetahui tentang kisah lalunya sebelum menjadi seorang kelasi. Renjana sudah terbiasa mendapat soalan sebegini dari kru lain, jadi dia sudah sediakan jawapan yang sesuai jika ada orang bertanya lagi. “Saya melakukan banyak kerja.”
“Misalnya?”
“Pelbagai.” Renjana memastikan jawapannya umum, dengan harapan Tuan Tariq tidak bertanya lebih. Dia boleh mengagak yang jawapannya jelas menunjukkan bahawa dia cuba untuk mengelak daripada menjawab soalannya, tetapi Renjana perlu memastikan tiada siapa tahu tentang masa silamnya yang gelap.
Tuan Tariq mencubit dagunya sambil merenung wajah Renjana. Dia seolah-olah sedang menilai Renjana. “Kamu rasa kapal ini akan sampai ke pelabuhan seterusnya?”
“Saya tidak tahu, tuan.” balas Renjana. Maklumat yang didapati dari kru lain mengatakan mereka akan sampai pada keesokan harinya, namun Renjana tidak mahu menjadikan itu sebagai jawapan kerana dia tidak suka bercakap berdasarkan andaian.
“Kamu tidak pernah kamu dengar orang lain bercakap?”
“Pernah.”
“Jadi kenapa kamu tidak menjawab?”
“Sebab saya cuma dengar. Saya tidak tahu sama ada perkara itu benar.”
Tuan Tariq mengangguk lagi. Renjana tidak tahu mengapa Tuan Tariq bertanya soalan-soalan sebegini kepada dirinya. Adakah dia cuba menguji aku?
“Apa kamu akan buat apabila kita sampai di pelabuhan nanti?” Tuan Tariq memberi soalan baru.
“Jujurnya, saya tidak tahu.” jawab Renjana, pendek.
Tuan Tariq mengerutkan dahi. Mungkin jawapannya aneh, tetapi Renjana memang tidak ada rancangan apa yang dia mahu lakukan di Kerajaan Qin nanti. Mungkin dia akan berjalan-jalan melihat suasana di negeri orang, mungkin dia akan mengikuti Malik mencari tempat makan yang menyediakan makanan halal, mungkin juga dia akan duduk di bilik dan tidak berbuat apa-apa. Renjana tidak selesa untuk hidup tanpa arahan.
“Jelaskan jawapan kamu itu.” arah saudagar itu.
Renjana melihat ke bawah sambil memikirkan jawapannya, kemudian dia mendongak semula. “Saya cuma tidak biasa hidup tanpa arahan. Saya jadi tidak tentu arah jika diberikan kebebasan untuk membuat apa saja.”
“Jadi, kamu akan berasa lebih tenang jika diberikan arahan untuk berbuat sesuatu?”
“Benar, tuan.”
Tuan Tariq memandang wajahnya lagi sekali sambil berfikir. “Baiklah, kamu sambunglah buat aktiviti kamu. Saya pergi dahulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, tuan.” balas Renjana. Selepas Tuan Tariq berlalu pergi, barulah Renjana menenangkan seluruh badannya. Dia menghela nafas seperti dia baru sahaja menahan nafasnya sebentar tadi.