Bab 7: Kemalangan

“Renjana.” Malik —salah seorang daripada kru kapal— memanggil namanya.

“Ya? Ada kerja saya perlu buat?” balas Renjana.

“Kau tidak perlu bercakap secara formal dengan aku. Kita sama pangkat.”

“Oh… Baiklah.” kata Renjana. “Apa apa kau panggil aku?”

“Aku hanya mahu berbual dengan kau. Aku lihat kau seorang sahaja yang tidak berbual sesama kami kecuali atas hal kerja.” Malik bersandar membelakangi selusur kapal. Dia mendongak kepala melihat langit yang bertukar warna jingga. “Kalau kau mahu hidup lama di atas kapal, kau kena berkawan dengan pekerja lain. Walaupun tidak dinafikan kau sangat rajin dan sentiasa membuat kerja yang disuruh, kau akan rasa sunyi kemudiannya. “Kita hidup bukan untuk bekerja”, itu nasihat ibuku sebelum aku menyatakan hasrat untuk bekerja di atas kapal.”

Renjana merenung wajah Malik. Walaupun dia sedang bercakap dengan Renjana, namun riak wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang memikirkan sesuatu. Malah, gaya percakapannya juga seolah-olah dia sedang bermonolog sendirian dan bukannya bercakap dengan orang lain.

Renjana memegang susur tangan dan memandang lautan yang sedang bergelora. Mereka berdiri di sisi masing-masing mengamati pemandangan.

“Kenapa kau sertai kru kami?” Akhirnya Malik memecah kesunyian antara mereka. Kali ini dia memandang Renjana ketika bercakap.

“Itu…” Renjana cuba untuk memikirkan jawapan yang sesuai. Ianya seperti perbualan antara dia dan Bayu sebelum ini. Dia tidak ada sebab yang mendalam seperti Awang. Duit juga bukanlah sebabnya. Jadi, kenapa aku nak jadi kelasi?

Tidak seperti Bayu, Malik menunggu jawapan dari Renjana. Apabila dia melihat Renjana masih berdiam diri, dia akhirnya bersuara. “Kau tak ada sebab untuk jadi kelasi? Sebab harta? Mencari pengalaman? Merantau negeri orang?”

Renjana hanya menggelengkan kepala.

“Jawab sahaja yang kau tidak tahu.” Malik menepuk dengan agak kuat pada belakang Renjana sambil ketawa. Renjana tidak tahu apa yang kelakar tentang topik perbualan mereka itu.

“Bagaimana kehidupan kau sebelum ini?” Malik mengubah topik perbualan.

Soalan ni lagi bahaya daripada soalan tadi!

“Uh… Tentang tu…” Renjana cuba memikirkan jawapan terbaik. 

“Adakah ianya sesuatu yang aku tidak boleh tahu?” tanya Malik lagi.

Renjana hanya mengangguk perlahan.

“Misteri sungguh diri kau. Tidak mengapalah jikalau kau tidak dapat berikan jawapan.” Malik menarik balik soalannya tadi. “Aku mahu masuk ke dalam kabin untuk berehat sebentar.” kata Malik, menepuk bahu Renjana sebelum beredar dari situ. Renjana merenung semula ke arah laut. Langit yang tadi berwarna jingga bertukar biru gelap.

Kenapa dia menjadi kelasi? Apa yang di carinya dalam kehidupan barunya ini? Apa tujuan hidupnya?

Tujuan…

 “Renjana, di manakah Kashif?” Izaan —salah seorang kelasi yang juga bertugas sebagai tukang masak— menegur Renjana yang sedang mengelamun. Fikiran Renjana kembali ke realiti.

“Kashif? Maaf, aku tidak tahu. Mengapa?”

“Jari Omar terkena pisau sewaktu menyediakan makanan tengah hari. Jadi aku perlukan bantuan Kashif untuk merawat lukanya.” jelas Izaan. “Tidak mengapa, aku akan cari dia di kabin. Terima kasih!”

Izaan meninggalkan Renjana. Dia pernah berselisih dengan Kashif beberapa kali sebelum ini, namun mereka belum pernah bercakap sesama sendiri lagi. Walaupun bilangan kru kapal hanyalah 20 orang —termasuk saudagar Tariq dan Laila, 22 orang— tetapi dia tidak mengenali semua kru.

Entah mengapa, Renjana berasa ingin tahu akan keadaan Omar dan bagaimana rupa kecederaannya. Jadi, dia berjalan ke ruang makan.

Di sana, Omar sedang menahan kesakitan. Gayanya seperti kecederaan itu berlaku pada tangan kirinya. Tiada orang lain dalam ruang tersebut kerana sekarang belum waktu makan tengah hari.

“Apa yang terjadi?” tanya Renjana.

“Jari ku terkena pisau.” balas Omar sambil menunjukkan ibu jarinya yang sedang berdarah.

Renjana mendekati Omar dan memintanya untuk menunjukkan luka tersebut. Ianya luka hirisan tepat pada cap jari ibu jarinya. Omar perlu membersihkan lukanya terlebih dahulu. “Pergi bersihkan luka di jari itu dengan air.”

“Bukankah aku akan rasa sakit nanti?”

“Ya, tetapi kau perlu bersihkan luka terlebih dahulu. Mudah untuk kita balut dengan kain nanti.” jelas Renjana.

Omar mengangguk. Dia pergi ke satu sudut dan mencedok air menggunakan gayung kayu. Kemudian, dia menjirus air pada lukanya. Dia mengerang kesakitan dan berhenti sekerat jalan.

Renjana datang padanya dan meminta Omar menghulurkan tangannya. Dia kemudiannya membantunya mencuci luka dengan lembut, memastikan darah yang terlekat di cap jari hilang.

Selepas ianya bersih, Renjana mencari kain bersih. “Adakah kau mempunyai kain bersih?”

Omar menggelengkan kepala. Renjana cuba fikirkan kain bersih lain yang boleh didapatinya. Dia boleh sahaja koyakkan kain dari baju miliknya atau Omar, tetapi di mana pula dia boleh dapatkan gunting? Adakah gunting pada zaman ini sudah wujud?

“Assalamualaikum, aku sudah sampai.” Pada waktu itulah, Kashif sampai bersama Izaan. Tangan Kashif sedang membawa sebuah bekas besi. “Mari, aku mahu lihat keadaan luka kau.”

Omar mengucapkan terima kasih pada Renjana atas percubaan membantunya tadi sebelum pergi ke arah Kashif yang sudah duduk di meja makan.

Kashif memerhatikan kesan lukanya. “Kau bersihkan luka kaukah tadi?”

“Ya, Renjana membantuku.” balas Omar.

Kashif menjeling ke arah Renjana. Aku ada buat salah ke? Betullah tindakan dia untuk suruh Omar mencuci luka. Ianya untuk mengelakkan jangkitan.

Kashif membuka bekas besi itu dan mengeluarkan daun herba yang dilumat dan kain pembalut. Dia membalut luka menggunakan kedua-dua bahan itu. “Pastikan kawasan yang dibalut tidak kotor. Esok jumpa aku, aku perlu ganti kain pembalut ini.” pesan Kashif. Omar mengangguk dan mengucapkan terima kasih.

“Dan kau,” tiba-tiba Kashif memandang Renjana. Dia seperti tidak puas hati. “Siapa suruh kau buat tindakan secara melulu? Bagaimana jikalau lukanya dijangkiti? Kau mahu bertanggungjawab?”

“Aku suruh dia basuh luka menggunakan air bersih. Itu saja.”

“Bagaimana jikalau air tersebut tidak sesuai untuk mencuci luka?” Kashif mencelah.

Renjana hanya menunduk. Ada betul juga kata-katanya. Sekarang dia bukan di zaman moden di mana ianya mudah untuk jumpa air bersih di mana-mana. Dia tidak terfikirkan hal sebegitu.

“Maaf,” Renjana membongkok 90 darjah untuk menunjukkan bahawa dia benar-benar mengakui kesilapannya. Walaupun dia mempunyai ilmu asas perubatan dan pertolongan cemas, dia tidak membiarkan ego menguasai dirinya. Dia perlu ingat. Di sini, dia bukanlah sesiapa. Dia hanyalah seorang kelasi biasa.

Kashif mendecit. “Sudahlah. Lepas ini, jumpa aku kalau kau tidak tahu cara untuk merawat kecederaan orang lain.” katanya. Dia mengemas barangnya di dalam bekas besi itu. Selepas menutupnya, dia meminta diri untuk keluar dari situ.

✿✿✿

Pada hari itu, Renjana bertugas dengan Rashid —kru kapal paling lama bertugas bawah Tuan Abdullah— dalam membersihkan sebuah ruang penyimpanan barang. Mereka perlu memastikan keadaan dalam ruang tersebut bersih dan tidak terlalu lembap supaya barang dagangan tidak rosak sebelum sampai ke Kerajaan Qin (sebutan— Sīn) untuk dijual.

Antara barang dagangan yang dibawa ialah lada eksotik, cengkih, batu permata dan ubat-ubatan seperti herba dan mineral dari Qamarah. Daripada maklumat yang didapati dari Malik, Tuan Tariq juga akan berdagang dengan orang Qin untuk dibawa balik ke Qamarah dan dijual kepada penduduk tempatan di situ. Renjana masih mempelajari cara berniaga orang pada zaman ini, lebih-lebih lagi mengenai sistem barter dan ‘wang tunai’ asing.

“Rashid, tolong angkat kotak ini sebentar. Aku mahu lap air laut yang ada di bawahnya.” kata Renjana pada Rashid.

“Baiklah.” Rashid terus mengangkat kotak tersebut. Semasa Renjana sedang mengelap, tiba-tiba Rashid mengerang kesakitan. “Argh!”

Renjana terkejut mendengar suara Rashid. “Ambil… Ambil kotak ini daripada aku…” minta Rashid.

Renjana terus mengambil kotak itu darinya dan meletakkan di tempat lain. “Kenapa ni?”

“Pinggangku… Sakit…” Rashid terbaring di atas lantai.

Pada waktu itulah, dia teringat cara Rashid mengangkat kotak sebentar tadi. Mungkin dia membongkokkan badan sambil meluruskan kaki dan mengangkat beban menggunakan kekuatan pinggang.

“Tunggu sebentar, aku minta mereka panggil Kashif.” Renjana terus keluar dan mencari kru yang terdekat untuk meminta mereka mencari Kashif. Selepas kru tersebut pergi, Renjana patah balik ke ruang penyimpanan barang. “Rashid, cuba kau baring menelentang.” arahnya.

Rashid terus mengikuti arahan Renjana dan baring menelentang di atas lantai. Dia mengambil salah satu kotak yang lebih kecil dan meminta Rashid untuk meletakkan kakinya di atas kotak tersebut. Dia memastikan lututnya berada pada sudut 90 darjah supaya Rashid berasa lebih selesa.

Beberapa minit kemudian, Kashif akhirnya sampai. Kali ini, dia membawa sebuah botol. “Pinggang Rashid sakit kerana dia mengangkat kotak berat dengan menggunakan pinggangnya.” jelas Renjana. Berkemungkinan Rashid mempunyai ‘slip disc’ atau cakera tergelincir, tetapi dia tidak tahu jika ianya wujud ataupun tidak di zaman itu.

Rashid meminta Rashid untuk cuba baring mengiring. Kemudian, dia membuka botol yang dibawanya dan sapu di belakang Rashid. Berkemungkinan dia sedang menyapu sesuatu seakan minyak angin pada belakangnya.

“Kau pergi bagitahu tuan nakhoda yang Rashid perlu rehat untuk beberapa hari.” arah Kashif kepada kru kapal yang membawanya tadi. Renjana juga cuba untuk beredar dari situ, namun Kashif memanggilnya. “Renjana,”

“Ya?”

“Kau pernah belajar perubatan?”

“Uh… Ya, aku pernah. Tetapi aku hanya belajar perkara asas.”

Kashif mendiamkan diri buat seketika. “Kau mahu belajar?”

Renjana tidak membalas. Belajar perubatan? Tetapi dari mana? “Boleh juga. Ilmu itu pasti berguna nanti.”

“Setiap ilmu berguna dalam hidup ini. Kau cuma perlu memilih jalan ilmu mana yang kau mahu ambil.” jelas Kashif.

Selama ini, dia mempelajari ilmu perubatan supaya dia dapat merawat dirinya sendiri. Setiap hari adalah hari pertempuran berdarah baginya. Jikapun dia tidak ada tugasan, dia tetap diburu oleh orang yang mahu mengambil nyawanya. Bukan itu sahaja, dia juga mempelajari anatomi manusia supaya dia dapat menilai bahagian mana yang paling mudah untuk diserang, bagaimana keadaan manusia jika diserang pada tempat tertentu dan bagaimana untuk bertahan.

Jadi, perlukah dia sambung mempelajari ilmu perubatan? Dia sudah meninggalkan zaman itu dan mempunyai kerja baru.

“Bila kau sudah ada jawapan, datang berjumpa denganku.” balas Kashif.

“Baiklah.” Renjana mengangguk. Dia kemudiannya membantu Kashif membawa Rashid ke kabin untuk beri masa untuknya berehat.

Share:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *