Bab 3: Pekan

Selepas beberapa minggu menatap di rumah Bayu dan dirawat oleh perawat tradisional, luka tembakan pada bahu kiri Renjana pulih tanpa komplikasi. Bayu mula berikan tugasan padanya. Pada mulanya, dia fikir Bayu akan berikan kerja berat, namun sebaliknya dia mendapat tugas-tugas biasa seperti menangkap ikan, membawa barang anyaman, memotong daun dan menyiang ikan untuk dimasak.

Renjana membuat semua tugasnya dengan tekun. Setakat ini, dia tidak membantah arahan Bayu. Dari pemerhatian Bayu, Renjana seorang yang cepat belajar. Setiap kali dia mengajarnya sesuatu baharu, Renjana terus faham. Dalam masa dua minggu, gaya bahasanya hampir mirip dengan cara orang tempatan bercakap.

Renjana juga akan bertanya sebelum melakukan sesuatu yang tidak pasti, misalnya cara untuk menyiang ikan dengan betul dan cara membuang duri. Disebabkan itu, Renjana kurang melakukan kesalahan.

“Saya sudah siap.” kata Renjana.

Bayu memandang rotan-rotan yang sudah dibelah halus itu. “Bagus. Mari, saya ajar kamu cara untuk menganyam bakul.” Bayu menghulurkan beberapa lingkar rotan pada Renjana. Dia mengambil rotan yang diberikan tanpa berkata apa-apa.

“Kamu ikut bagaimana saya lakukan.” Bayu mengambil enam jalur rotan lalu menyusunnya bersilang. Jari-jarinya bergerak perlahan.Setiap lilitan kelihatan kemas. 

Renjana mengikuti gerak gerinya. Gerakannya lebih perlahan. Dia cuba meneliti cara Bayu lakukannya. Selalunya jika dia melakukannya seorang diri, dia dapat menyiapkan tapak bakul pada waktu petang, namun kali ini dia perlahankan gerak gerinya supaya Renjana tidak terlepas pandang.

Hasil anyaman Renjana tidak terlalu kemas. ada sedikit cacat cela seperti lubang besar di antara bahagian anyamannya. Namun Bayu sabar menegur kesalahannya dan memintanya membuat semula beberapa bahagian.

Hampir tiga jam berlaku. Bunyi ketukan beduk bergema dengan perlahan dari lokasi mereka. Bayu bangun dari tempat duduknya dan mengemas barang-barang anyaman yang berada di bangku itu. “Saya mahu ke masjid. Kamu mahu ikut?”

Renjana berdiam diri buat seketika. “Ya.” balasnya pendek.

Maka, mereka mengemas tempat kerja mereka sebelum mengunci pintu rumah dengan palang kayu.

✿✿✿

Pada malam itu, Renjana membentangkan tikar pandan sebagai tempat tidurnya. Pada waktu itu, Bayu bersuara. “Esok mari ikut aku ke pekan. Aku mahu jual hasil anyaman di sana.” Buat pertama kali, dia menggunakan kata ganti diri pertama ‘aku’ menunjukkan yang dia mula merasa rapat dengan Renjana.

“Baiklah.” balas Renjana tanpa berfikir panjang.

“Kau tidak pernah mempersoalkan tugas yang aku berikan.”

“Pakcik sudah menyelamatkan saya semasa saya hampir lemas. Paling kurang saya perlu membalas jasa budi pakcik.” jelas Renjana. Apa yang dibalasnya ikhlas dari hati. Bayu telah menyelamatkan dia dan menjaganya. Bayu juga memastikan kebajikannya terjaga. Jadi apa yang dia boleh balas pada orang tua itu adalah dengan mengurangkan beban kerja hariannya.

“Mari, duduk sebentar.” Bayu menepuk lantai bersebelahannya. Renjana terus duduk bersila di situ. Dia menunggu Bayu membuka mulut.

“Apakah pekerjaan kamu sebelum ini?” soal Bayu. Soalannya mengejutkan Renjana.

“Uh… Saya…” Renjana tidak tahu mahu menjawab apa. “Boleh saya tahu kenapa pakcik tanya?”

“Salahkah aku mahu mengenali anak muda di depanku ini?” Bayu tersenyum. Dia menepuk lengan Renjana dengan perlahan. Renjana tidak tersenyum janggal.

“Bukan apa, aku lihat gerak-geri kamu seperti seorang pengawal atau askar. Jadi aku tertanya-tanya.” balas Bayu.

“Ya, sebelum ini saya bekerja sebagai askar.” Renjana menjawab. Sudah tentu jawapannya itu adalah palsu. Tetapi dia tidak tahu apa pandangannya nanti jika dia beritahu pekerjaan sebenarnya. Jadi, lebih baik jika dia merahsiakan perkara itu.

Bayu mengangguk tanda faham. Dia mempercayai jawapan Renjana. “Baiklah, kau tidurlah dahulu. Esok pagi sesudah Subuh kita pergi.”

Renjana mengangguk dan terus ke tempat tidurnya. Selepas menepuk bantal beberapa kali untuk membuatnya lebih empuk, dia merehatkan kepalanya dan terus tidur.

✿✿✿

Selepas Bayu balik dari dari masjid pada pagi itu, dia meminta Renjana untuk menggalas pengandar yang berisi beberapa tudung saji dan bakul rotan. Sementara itu, Bayu mengepit tiga jenis tikar di sebelah kanan. Sebelah kiri pula dia memegang guni untuk menyimpan hasil jualan nanti.

Selepas berjalan jauh, mereka akhirnya tiba di pekan. Disana, beberapa penjual  lain turut tiba di sana. Ada yang sedang menyusun barang jualan di bangsal jualan, dan ada juga yang sudah mula mendapat pelanggan di gerai kecil mereka. Bayu adalah antara penjual yang menjual barang di atas lantai di tepi jalan.

Untuk dua jam pertama, tiada pelanggan mengunjungi tapak jualan mereka. Renjana mula fikir jualan hasil anyaman tidak menguntungkan. Tetapi dia tidak menyuarakan pandangannya pada Bayu sendiri.

Selepas lama melihat beberapa orang kampung lalu lalang di hadapan mereka, akhirnya ada seorang wanita datang ke tapak jualan mereka. “Assalamualaikum, Bayu. Apa jenis tikar yang kau jual hari ini?”

“Ketiga-tiganya tikar mengkuang. Mengkuang kali ini elok.” balas Bayu sambil tersenyum. Wanita mengajukan soalan lain sebelum dia meneliti hasil anyaman tikar-tikar tersebut.

“Kurangkan sedikit harganya.” kata wanita itu apabila Bayu memberitahu tentang harga tikar yang dipegangnya.

“Kalau aku kurangkan lagi, nanti aku pula yang makan angin.” jawab Bayu berseloroh. Wanita itu gelak kecil. Selepas mereka tawar menawar harga, akhirnya Bayu menerima dua gantang beras dari wanita itu.

Renjana pernah terdengar yang masyarakat pada zaman dahulu menggunakan sistem barter. Ianya sistem jual beli dimana pelanggan menawarkan barang lain yang mungkin sama nilainya dengan barang jualan yang ingin dibelinya. Ada juga pelanggan yang menawarkan beberapa keping mata wang timah yang berbentuk bulat.

“Assalamualaikum, Bayu! Siapakah pemuda di sebelah kau?” seorang lelaki bertanjak menegur Bayu dari jauh. Pakaiannya kelihatan lain daripada pelanggan atau peniaga di pekan itu. Dari pemerhatian Renjana, boleh jadi orang tersebut antara orang yang berada.

“Waalaikumussalam. Inilah pemuda yang aku katakan kelmarin. Aku perkenalkan, namanya Renjana. Renjana, ini Bahari.” Bayu memperkenalkan mereka berdua.

Renjana terus bangun dari tempat duduknya dan bersalaman dengan Bahari.

“Wah, segak betul pemuda ini! Di mana kau jumpa dia?” soal Bahari.

“Panjang ceritanya. Sekarang pemuda ini tinggal denganku. Ringan kerja harian aku.” Bayu ketawa dengan gembiranya. Renjana hanya berdiam diri dan mendengar perbualan mereka berdua tentang dirinya.

“Oh, ya! Bagus anyaman tikar yang kau berikan pada aku sebelum ini.” Bahari menukar topik perbualan mereka.

“Alhamdulillah, syukur.”

“Buatkan aku dua helai lagi. Pedagang semakin ramai singgah sejak angin berubah.” Bahari membuat permintaan pada Bayu.

“Baiklah. Bila kau mahu ambil tikar itu nanti?”

“Hujung minggu ini, boleh? Pedagang dari barat akan datang berlabuh semula pada bila-bila masa. Aku mahu pastikan dia selesa di tempat penginapan aku.” balas Bahari. Bayu menerima permintaan khasnya.

Pada waktu petang, Bayu akhirnya mengemas barang-barang jualannya. Hasil jualan seperti beras, syiling, tembaga dan lain-lain diletakkan ke dalam guni.

“Pakcik, saya ada soalan.” Renjana menegur Bayu. “Kenapa bayaran semua orang berbeza?”

“Berbeza?” Bayu bertanya semula.

“Orang tadi beri beras. Orang sebelum itu beri syiling. Lelaki yang membeli tikar semalam beri syiling yang lain pula.” Renjana memegang sekeping syiling tembaga.

“Sebab mereka datang dari tempat yang berbeza.”

“Tapi harga tikar masih sama.”

“Tikar itu sama. Tetapi cara mereka mendapat nilai untuk membayarnya tidak semestinya sama.” jelas Bayu.

Dia mengeluarkan segantang beras dari guni. “Orang kampung yang menanam padi mungkin tidak banyak duit. Tetapi dia ada beras.”

Kemudian dia mengambil syiling timah. “Orang yang pergi ke pekan membawa hasil jualan mungkin ada syiling.”

Dia mengambil syiling asing dari tangan Renjana. “Orang luar yang datang dari jauh pula membawa duit dari tempat mereka sendiri.”

“Dan pakcik terima semuanya?” Renjana bertanya.

Bayu menggelengkan kepala. “Bukan semuanya.” Dia mengetuk syiling asing itu. “Kalau aku tidak kenal nilainya, aku tidak akan menerimanya.” jelasnya.

Renjana mengangguk tanda faham. Penerangan Bayu mengingatkannya pada kawasan tarikan pelancong di abad ke-21, di mana kedai yang sentiasa mendapat pelanggan luar negara menerima mata wang asing semasa berjual beli. Bezanya, mereka tidak menggunakan sistem barter sebagai salah satu cara bayaran.

Share:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *